Hiburan

Siti cipta lagu khusus berjudul Anakanda khas buat anak keduanya

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil dengan single baharu yang dicipta khusus buat anak keduanya.

Lagu tersebut berjudul Anakanda dan didedikasikan khas buat anak keduanya yang lahir pada 19 April lalu.

Menurut Siti, beliau mencipta lagu Anakanda ketika sedang mencari ilham sebuah lagu khas untuk anak yang bakal dilahirkan.

Dia juga memilih rentak inang bagi menyesuaikan dengan konsep keseluruhan album lagu kanak-kanak klasik, Legasi. Lagu ini diterbitkan oleh Pown Hasril.

“Lagu Anakanda ini merupakan lagu paling akhir saya rakamkan untuk album Legasi. Apabila memutuskan untuk memasukkan lagu Comel Pipi Merah ke dalam album Legasi, saya terfikir untuk mencipta sebuah lagu khas dan baharu buat anak yang bakal lahir,” jelas Siti.

Jelasnya, Anakanda menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki serta mahu menerapkan sisi bertanggungjawab terhadap orang sekeliling.

“Melagukan lirik yang positif, bermoral dan menerapkan asas yang baik juga membantu perkembangan minda anak-anak. Anakanda bukan sahaja bentuk harapan yang dilagukan oleh saya tetapi harapan setiap insan yang memiliki cahayamata,” kata Siti.

Lagu Anakanda dimuatkan di dalam album kanak-kanak klasik, Legasi yang dilancarkan pada 1 April 2021 dan dicipta sendiri oleh Siti manakala liriknya oleh Rozisangdewi.

Sebelum ini, Siti juga pernah tampil dengan lagu Comel Pipi Merah pada 2018 yang juga ditujukan khas buat anak sulungnya dan lagu tersebut juga mendapat sambutan baik.

Dalam pada itu, Siti juga telah menyiapkan video muzik lagu Anakanda dan bakal disiarkan secara rasmi di saluran youtube Siti Nurhaliza pada hari Isnin, 26 April 2021, jam 9 malam. Video muzik ini mendapat tajaan dan kerjasama daripada syarikat Cuckoo.

Saluran youtube Siti Nurhaliza juga turut melancarkan peraduan khas sempena single terbaharu ini dan akan diumumkan pada 26 April 2021. -SM

(Visited 1,368 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button