PembacaPolitik

RUU Pemecatan Ahli Parlimen penting untuk wujudkan kerajaan stabil

SURAT PEMBACA

Saudara pengarang,

Saya menyambut baik cadangan Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini untuk memperkenalkan/membentangkan satu Usul Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

RUU ini secara prinsipnya bertujuan untuk menangani isu lompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen. Langkah ini adalah satu langkah ke arah yang betul dan perlu dilakukan dengan komprehensif.

Pada pandangan saya, bagi menangani isu lompat parti, recall election adalah cara yang lebih progresif hanya sekiranya undang-undang recall election ini digubal secara teratur dan menyeluruh.

Recall election merupakan satu langkah di mana mandat yang diberikan kepada seseorang Ahli Parlimen boleh dibatalkan oleh penduduk di sesuatu kawasan pilihan raya dengan cara memanggil suatu pilihan raya semula apabila ahli Parlimen tersebut, antara lainnya, melompat parti atau menjadi ahli Parlimen bebas (selepas ini dirujuk sebagai ‘undang-undang tersebut’).


Saya perlu menekankan di sini bahawa bagi memperkenalkan undang-undang tersebut, perkara–perkara yang berikut adalah penting dan mesti diberikan perhatian:

a) Peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 10 dan 48 perlu dipinda terlebih dahulu dipinda sebelum undang-undang tersebut boleh diperkenalkan dan digubal;

b) Isu-isu keperlembagaan yang dibangkitkan dan dipertimbangkan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v Nordin Bin Salleh & Anor [1992] 1 MLJ 697 harus diambil kira dalam penggubalan undang-undang tersebut;

c) Undang-undang tersebut mesti pemperuntukkan satu threshold yang jelas dan prosedur yang tidak begitu rumit bagi memudahkan akses kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka di bawah undang-undang tersebut;

d) Undang-undang tersebut mesti dihadkan hanya bagi menangani isu lompat parti. Pencetus (‘trigger’) kepada penggunapakaian undang-undang tersebut mesti digubal dalam perkataan yang sangat jelas bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau penyalahgunaan (‘abuse’) oleh mana-mana pihak di masa hadapan;

e) Satu garis masa yang pendek dan efektif bagi proses recall election di bawah undang-undang tersebut mesti diperuntukkan; dan

f) Isu kos bagi recall election mesti dibincangkan dan satu penyelesaian yang seimbang perlu diterima pakai.

Pada pandangan saya, penggubalan undang-undang tersebut yang mengembalikan kuasa memilih Ahli Parlimen kepada rakyat merupakan satu langkah progressif ke arah membina negara yang lebih demokratik.

Ia merupakan satu langkah yang konsisten dengan prinsip ‘of the people, for the people, by the people’.

Undang-undang tersebut memastikan bahawa wakil rakyat adalah bertanggungjawab secara berterusan kepada pengundi-pengundinya dan mandat yang diberikan boleh dibatalkan oleh rakyat sekiranya terdapat sebarang perlanggaran peruntukan undang-undang tersebut.

Saya sedar bahawa proses penggubalan undang-undang tersebut akan mengambil masa tetapi ianya langkah penting untuk bergerak ke hadapan.

Langkah ini nyata sekali akan memastikan kestabilan kepada mana-mana kerajaan yang mentadbir negara ini dan juga ketelusan di pihak Ahli Parlimen.

Saya menyokong penuh cadangan di atas dan saya mengajak semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik untuk berganding bahu dan menyokong cadangan tersebut.

Penulis: AIZAT AZAM merupakan EXCO PEMUDA UMNO MALAYSIA

 

(Visited 67 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button