Politik

7 perkara berbangkit berkait isu Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dibentangkan!

KERAJAAN hari ini membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan larangan peruntukan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti demi kestabilan politik negara.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, terdapat sekurang-kurangnya tujuh persoalan berbangkit mengenai cadangan pindaaan tersebut.

Antara persoalan-persoalan tersebut adalah:

(i) pendekatan atau approach terbaik (dengan izin) pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan sahaja atau pendekatan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan disusuli dengan suatu akta larangan bertukar parti yang khusus;

(ii) tafsiran yang jelas berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, antaranya seperti:

(a) adakah Ahli Dewan Rakyat daripada suatu parti politik dan kemudiannya menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas dianggap bertukar parti;

(b) adakah Ahli Dewan Rakyat yang bertanding di atas tiket Bebas, dan kemudiannya menyertai suatu parti politik
dianggap bertukar parti;

(c) kedudukan Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik dalam parti gabungan yang sama dan parti gabungan yang berbeza; dan

(d) sama ada Ahli Dewan Rakyat yang dipecat dari suatu parti politik dianggap bertukar parti.

Selain itu, ia juga melibatkan:

(iii) keanggotaan dalam parti gabungan;

(iv) pemakaian peruntukan larangan bertukar parti bagi ahli Dewan Negara dan ahli Dewan Undangan Negeri;

(v) pemansuhan Fasal (6) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat boleh bertanding
semula;

(vi) rundingan dengan Kerajaan Negeri untuk menggubal perundangan berkaitan larangan adun bertukar parti; dan

(vii) mekanisme pemakluman kekosongan kerusi setelah Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Persoalan berbangkit ini dimaklumkan Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat. – SM

Atikrl berkaitan > RUU Perlembagaan Berkaitan Lompat Parti dibentangkan Rabu ini

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button