Politik

Implikasi pengubalan peruntukan diberi pertimbangan – Perdana Menteri

KERAJAAN memberi pertimbangan sewajarnya dan perbincangan lanjut telah dibuat Jawatankuasa Pilihan Khas terhadap semua persoalan berbangkit berkaitan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia termasuklah implikasi penggubalan peruntukan-peruntukan tertentu berkaitan perkara yang dibentangkan kepada Ahli Dewan Rakyat.

Oleh yang demikian, parameter gubalan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 – Pindaan Dalam Jawatankuasa ini ditetapkan, antaranya sebagaimana berikut:

(i) perundangan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti ini tidak akan terpakai secara restrospektif iaitu pelaksanaan Akta mulai tarikh kuat kuasa Akta;

(ii) pendekatan satu langkah (one-step approach) dengan izin, diambil dalam memperkenalkan undang-undang larangan bertukar parti, iaitu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan;


(iii) Ahli Dewan Rakyat yang keluar dari parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat;

(iv) keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan. Selain itu, keanggotaan seorang Ahli Dewan Rakyat juga merujuk kepada seorang ahli Dewan Rakyat yang bukan anggota mana-mana parti
politik yang membentuk sesuatu gabungan parti politik tetapi ialah anggota parti gabungan itu (direct member of the coalition party);

(v) keanggotaan Ahli Dewan Rakyat dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan Rang Undang-Undang ini adalah keahlian seorang Ahli Dewan Rakyat dalam suatu parti politik;

(vi) penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti;

(vii) mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti politik atau mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi;

(viii) pengecualian terhadap larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sebagaimana berikut:

(a) Ahli Dewan Rakyat tidak terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya;

(b) pelepasan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat daripada parti politik apabila dipilih menjadi Yang Di-Pertua Dewan Rakyat tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat; dan

(c) pemecatan Ahli Dewan Rakyat dari keanggotaan dalam parti politik dikecualikan dari Ahli Dewan Rakyat terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat.

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button