PolitikRencana

Jangan jadi Kaduk Naik Junjung, Kera Dapat Bunga

Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, bukan kerana beliau gagal menguruskan krisis pandemik, tetapi kerana permainan politik hingga beliau hilang sokongan majoriti serta tewas perang persepsi.

Muhyiddin boleh sahaja untuk tidak meletakkan jawatan dan jika dipaksa meletakkan jawatan sekalipun, Muhyiddin boleh mengheret istana ke mahkamah. Namun sebagai pemimpin berjiwa besar, Muhyiddin telah memberi laluan kepada pelantikan perdana menteri baharu dan pembentukan kabinet baharu.

Bagaimanapun ia bukanlah sebuah kerajaan baharu yang baru lepas menang majoriti besar pada pilihan raya, tetapi sebuah kerajaan kesinambungan Perikatan Nasional (PN) dan agenda utamanya yang masih berjalan serta semakin menampakkan kejayaan iaitu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

PPN bertujuan membawa keluar kita dari krisis pandemik ini melalui program vaksinasi yang akan membentuk kekebalan kelompok rakyat daripada jangkitan atau gejala teruk penularan wabak Covid-19.

PPN juga menyalurkan wang tunai ratusan bilion ringgit kepada rakyat secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan kelangsungan hidup disantuni, sekaligus menggerakkan ekonomi walaupun dalam keadaan yang sangat gawat.

Perkara ini memang disedari oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang baharu dilantik sebagai perdana menteri kesembilan bagi menggantikan Muhyiddin.

Apa tidaknya kerana Ismail Sabri sendiri terlibat secara langsung dalam peperangan menentang wabak ini dari hari pertama kerajaan PN ditubuhkan.

Justeru para pemimpin politik khususnya dari UMNO jangan terlalu menunjukkan kedangkalan mereka dalam berpolitik apabila menganggap ini adalah kerajaan baharu dan ia milik parti itu.

Mereka perlu melihat realiti politik supaya tidak mabuk kuasa hingga menjadi Kaduk Naik Junjung dan Kera Mendapat Bunga.

PN merupakan gabungan banyak parti dengan PN itu sendiri mempunyai 73 kerusi parlimen dan Barisan Nasional (BN) hanya 41 satu kerusi, setelah Tengku Razaleigh Hamzah enggan menyatakan sokongan selepas berasa tertipu, kerana dijanjikan jawatan perdana menteri interim.

Ini bukan kabinet BN baharu yang berjaya memenangi pilihan raya dengan majoriti dua pertiga, jadi Ismail Sabri tidak boleh dan tidak perlu terlalu kreatif dalam menyusun kabinet baharu.

Apa yang seharusnya dilakukan ialah mengekalkan sembilan orang menteri yang sedia ada kerana mereka terlibat menjayakan PPN serta telah mahir semua selok-beloknya dan hanya menggantikan dua menteri yang meletakkan jawatan.

Dua jawatan menteri itu pula biarlah diisi mengikut hirarki parti komponen PN.

Jika mahu dilakukan perubahan mungkin beberapa menteri akan ditukarkan portfolionya berdasarkan keperluan dan kemahiran mereka.

Dalam situasi getir ini juga Ismail Sabri tidak boleh mengambil masa terlalu lama untuk mengumumkan kabinet baharu dan ia perlu dituntaskan selewat-lewatnya pada hari selasa ini.

Beliau hanya mempunyai sekitar 48 jam kerana mesyuarat kabinet pertama perlu diadakan pada rabu ini setelah terlalu banyak urusan tertangguh dek bahana pergolakan politik.

Paling utama yang perlu ditanam di dalam fikiran masing-masing bahawa kabinet yang dibentuk adalah kabinet sementara sebelum diadakan pilihan raya, untuk rakyat menentukan kerajaan baharu.

Oleh itu ahli politik khususnya UMNO harus insaf dan meletakkan kepentingan peribadi ke tepi dan menumpukan kepada matlamat utama untuk memenangi majoriti dua pertiga pada pilihan raya ke-15.

Bagi mencapai itu ahli dan pemimpin UMNO perlu memahami serta menerima hakikat politik bahawa mereka perlu akur kepada muafakat parti Melayu yang utama iaitu bersama-sama Pas dan Bersatu.

Ini bukan lagi zaman UMNO menentang Pas dan ketika itu komponen BN lain masih kuat.

Lihatlah petanda-petanda yang diberikan Allah yang maha berkuasa. Krisis politik ini berlaku ketika Maal Hijrah dan kita bakal menyambut Hari Kebangsaan ke-64.

Disebalik kekalutan ini ada hikmahnya iaitu dapat menyatukan kembali orang Melayu, Islam dan bumiputera di bawah satu payung serta gagasan tanpa meminggirkan kaum lain.

Gabungan UMNO, Pas dan Bersatu adalah sangat kuat. Oleh itu jika terdapat mana-mana pemimpin di dalam tiga parti utama orang Melayu itu yang menolak perpaduan Islam dan Melayu, mereka harus disingkir.

Jiwa mereka sudah tidak murni kerana terlalu lama bergelumang dengan politik kotor dan tidak lagi sesuai mendepani perjuangan suci demi agama, bangsa dan tanah air ini.

 

 

(Visited 679 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button