Politik

Pengurusan masa yang baik faktor utama kejayaan – Raja Muda Perlis

Pengurusan masa yang baik di semua peringkat merupakan salah satu faktor utama yang boleh membawa kemajuan kepada sesebuah organisasi, negeri dan juga negara dalam pelbagai aspek.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titahnya menegaskan bahawa sikap melengah-lengahkan atau menangguh-nangguh masa terutama sekali di bahagian pentadbiran dan pelaksanaan baik awam mahupun swasta haruslah dibendung kerana ianya mampu memberi impak negatif kepada semua.

Memetik sektor pembinaan sebagai contoh, baginda menambah bahawa kelewatan membuat keputusan dan kelulusan atau menyiapkan sesuatu projek bukan sahaja boleh membawa kepada kerugian dari segi wang ringgit tetapi juga mendatangkan masalah kepada pihak lain yang terlibat seperti pembeli yang telah mempunyai rancangan tersendiri dalam jangka masa tertentu.

“Bayangkan sebuah projek seperti pembinaan lot-lot rumah kedai yang sepatutnya mengambil masa setahun tertunda hingga dua tahun atau lebih akibat kegagalan sesetengah pihak menguruskan masa dengan sewajarnya.

“Ini akan menyebabkan kerugian dari segi kos berikutan kenaikan harga barangan dan bekalan bahan binaan serta upah semasa. Bukan itu sahaja, ianya akan turut menjejaskan perancangan selepas siap pembinaan seperti kemudahan dan sewaan unit.

“Lebih parah lagi jika akhirnya projek berkenaan terbengkalai dan akhirnya menjadi ‘gajah putih’ sedangkan ianya dapat membawa kepada pembangunan ekonomi negeri serta penduduk setempat jika diuruskan dengan betul mengikut masa yang ditetapkan,” tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Demikian titah Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyantuni dan seterusnya menyampaikan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa wang tunai, beras fidyah serta bekalan makanan mentah darupada MAIPs sendiri dan juga dari Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan kepada Fhaizul Izwan Fadzil, 41 tahun di Kg Bangsal Lebah dekat Kangar.

Beliau yang bekerja sebagai tukang rumah dan tidak mempunyai pendapatan tetap menghidap sakit gout adalah merupakan penerima ‘Bantuan Sara Hidup Berkala MAIPs’ dan juga ‘Bantuan Bencana MAIPs’.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.

(Visited 549 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button