Politik

UMNO boleh bekerjasama dengan musuh jika ‘dibenarkan’ akar umbi

UMNO boleh menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk yang dianggap sebagai musuh dengan syarat ia diterima oleh akar umbi.

Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara yang sama pernah berlaku kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bergabung hingga menyebabkan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya 2018.

Lebih mengejutkan katanya, Dr. Mahathir dan DAP boleh duduk di meja yang sama dan melantik pemimpin DAP ke jawatan penting kerajaan.

“Kami tidak pernah memikirkan semua itu, tetapi ia berlaku,” katanya dalam wawancara dengan Astro Awani.

Mengenai pakatan dengan bekas musuh beliau berkata, jika tidak ada pilihan ia perlu dilakukan.

“Dalam konteks hari ini, saya mengatakan kita harus melihat semua pilihan, tetapi dengan satu syarat. Itu mesti diterima oleh pemimpin dan ahli UMNO.

“Apa sahaja yang kita lakukan, ia mesti diterima oleh akar umbi, ” katanya.

Namun, katanya, ia mesti berdasarkan kepercayaan bersama dan kesediaan untuk bekerjasama, jika tidak, ia akan runtuh.

“Itulah yang terjadi pada PH (Pakatan Harapan). Asasnya tidak berdasarkan kepercayaan,” kata Najib.

Ahad lalu akhbar Mingguan Malaysia melaporkan bahawa ahli Majlis Tertinggi UMNO dipercayai telah mengambil keputusan untuk menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan gabungan Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Bagaimana pun Najib menolak anggapan bahawa UMNO sudah hilang arah dan berpecah-belah.

Sebaliknya beliau berpendapat, apa yang dilihat sebagai perpecahan dalam kepemimpinan parti itu harus dilihat sebagai perbezaan pendapat.

“Dalam senario ini, ada beberapa pendapat dalam UMNO mengenai apa yang harus dilakukan.

“Saya tidak akan menyebutnya sebagai perpecahan, tetapi ada beberapa yang mempunyai pendapat yang berbeza.

“Tetapi sebagai pihak yang membuat keputusan secara demokratik, saya yakin kami akan dapat membuat kesepakatan bila perlu,” katanya. – SM

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button