Politik

Kenapa pemimpin UMNO tidak mahu kerjasama dengan DAP – Dyana

AHLI majlis eksekutif belia DAP Dyana Sofya Mohd Daud hairan mengapa pemimpin peringkat tertinggi UMNO tidak mahu bekerjasama dengan pemimpin DAP.

Kata bekas calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014 itu, beliau faham sentimen penyokong UMNO di peringkat akar umbi terhadap DAP disebabkan persepsi yang salah terhadap parti itu.

Bagaimanapun, Dyana Sofya yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN-DAP) Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari berkata, beliau tidak memahami mengapa pemimpin peringkat tertinggi UMNO enggan bekerjasama dengan pemimpin DAP.

“Saya ingin memahami mengapa kebanyakan pemimpin UMNO peringkat tinggi enggan bekerjasama dengan pemimpin DAP. Hanya ingin tahu.

“Saya dapat memahami sentimen penyokong kerana persepsi yang salah atau tidak tepat. Tetapi pemimpin peringkat tinggi?” tanya Dyana Sofya di Twitternya.

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak antara pemimpin peringkat tertinggi UMNO yang terbaharu menyuarakan tidak sudi untuk bekersama dengan DAP.

Najib semalam dilaporkan memberi cadangan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk mengadakan rundingan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan syarat tanpa melibatkan DAP.

“Cadangan kedua saya ialah jika cadangan pertama ditolak PN maka UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika UMNO masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.

“Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini,” kata Najib.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi turut membuat keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP.

“Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP,” kata Ahmad Zahid.

Sebelum ini beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO mengatakan tidak terhadap kerjasama dengan DAP.

Akar umbi UMNO ketika ini mempunyai sentimen benci terhadap DAP. Mereka mendakwa DAP chauvinistic dan mahu memusnahkan kepentingan masyarakat Bumiputera serta anti-Islam. -SM

(Visited 661 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button