fbpx
Nasional

Rakyat Malaysia terkandas di India mungkin dipenjara

Tujuh lelaki warga Malaysia yang terkandas di Chennai India berikutan perintah lockdown di negara itu, merayu agar kerajaan Malaysia membawa mereka pulang ke tanah air segera.

Mereka yang tiba di India sebelum perintah lockdown tersebut iaitu Februari lalu, adalah ahli jemaah Tabligh yang berada di negara itu untuk melawat beberapa kawasan umat Islam dan beberapa masjid.

Dalam rakaman video yang dimuatkan dalam akaun Facebook milik salah seorang ahli jemaah bernama Ibnu Hussin, mereka berasa bimbang kemungkinan akan dipenjarakan oleh pihak berkuasa India atas kesalahan penyalahgunaan visa pelancong.

“Mungkin ini post dan video terakhir kami sebelum dipenjarakan oleh pihak polis.

“Kami telah didakwa di atas kesalahan penyalahgunaan visa, bagaimanapun, kami tak faham apa kesalahan sebenar kami dan kami telah dipaksa menandatangani surat-surat yang kami tak dijelaskan dengan baik, polis juga tidak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris atau Melayu dengan kami, kami tak faham,” katanya dalam video yang mendapat 4.3K reaksi, 4.7K komen dan 6.6K perkongsian daripada netizen.


Hussin berkata, mereka telah diambil saringan ujian COVID-19 oleh pihak berkuasa dan diberitahu akan dibawa ke penjara Chennai.

“Kami sangat mengharapkan bantuan kerajaan Malaysia agar kami dapat dibebaskan untuk pulang ke tanah air dengan segera,” katanya.

Menurutnya, pihak polis sebelum ini ada memberitahu akan membawa mereka ke pejabat Kedutaan Malaysia di Chennai tetapi mereka bimbang ia tidak berlaku.

“Kami meminta rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kami kerana kami dapat maklumat bahawa sebelum ini ada jemaah dari Indonesia dan Bangladesh telah dipenjarakan,” jelasnya. – SM

Show More

Related Articles

Back to top button