Nasional

4,000 murid golongan sasar nikmati Program Penambahbaikan RMT

SEBANYAK 4,000 murid miskin dan miskin tegar di 100 sekolah rendah di seluruh negara mendapat manfaat daripada Program Penambahbaikan Rancangan Makanan Tambahan (PPRMT), yang dilaksanakan mulai hari ini.

Program itu adalah penambahbaikan kepada RMT yang diperkenalkan di sekolah rendah di seluruh negara sejak 1979.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim berkata, dengan lebih 20 menu berkhasiat berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang disediakan pihak kantin sekolah, murid daripada golongan sasar dapat menikmati hidangan berkenaan sebelum bermula sesi pembelajaran di dalam kelas.

“Masa pelaksanaan program ini adalah pukul 7 hingga 7.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi manakala pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang bagi murid persekolahan sesi petang.

“Sebelum ini menerusi RMT, murid diberi makanan pada waktu rehat. Namun program penambahbaikan ini kita syorkan murid diberi sarapan agar apabila murid masuk kelas, mereka masuk dengan perut kenyang dan boleh fokus kepada sesi pembelajaran,” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan kelancaran program berkenaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Suria Puchong hari ini.

Mengenai kriteria pemilihan murid yang layak menerima manfaat daripada program itu, Habibah berkata mereka yang layak dipilih berdasarkan maklumat murid yang diperoleh daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Memberi contoh SK Seri Suria, beliau berkata sekolah berkenaan terdiri daripada 90 peratus murid yang mendiami perumahan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terletak berhampiran sekolah itu.

“Kita ambil kira dari segi maklumat daripada PPD supaya kita dapat pastikan pelaksanaan secara menyeluruh juga kombinasi sekolah pelbagai jenis,” katanya.

Jelas Habibah, sebelum pelaksanaan program penambahbaikan itu, pihak sekolah telah mengedarkan borang kepada ibu bapa bagi mendapatkan maklumat serta diet yang sesuai untuk anak-anak mereka.

“Pada masa sama, kita edar borang kepada ibu bapa sebab kita tidak boleh beri makanan sembarangan kepada murid. Perlu ada persetujuan daripada ibu bapa selain ingin tahu sekiranya murid ada alahan terhadap mana-mana jenis makanan,” katanya.

Mengenai keberkesanan program, Habibah memberi jaminan bahawa setiap murid yang terpilih mendapat dan menikmati makanan yang disediakan memandangkan pihak sekolah telah melantik guru bertugas untuk tujuan itu.

“Bekas makanan yang digunakan juga terdapat nama murid penerima. Maka mereka pasti akan mendapat makanan mereka. Malah bekas itu juga boleh diguna semula,” katanya.

Mengenai anggaran peruntukan sebanyak RM22 juta, Habibah berkata peruntukan bagi fasa pertama program itu adalah mencukupi malah beliau optimis mahu memastikan setiap murid daripada golongan sasar mendapat makanan bernutrisi dengan jumlah kalori bersesuaian umur berdasarkan cadangan daripada Kementerian Kesihatan.

Program Penambahbaikan RMT di sekolah rendah adalah inisiatif terbaharu Kementerian Pendidikan untuk menyediakan makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.– BERNAMA

(Visited 614 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button