Nasional

Pengerusi EMGS mengaku tidak bersalah terlibat pengubahan wang haram

PENGERUSI Education Malaysia Global Service (EMGS) Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, terhadap pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM150,000, dua tahun lepas.

Abdul Rahman, 63, yang juga seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pengurusan Ilmu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, Abdul Rahman didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dengan memindahkan wang berjumlah RM150,000 daripada akaun sebuah bank antarabangsa milik syarikat Mudra Resources Sdn Bhd ke dalam akaun miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Pusat Perdagangan Kebun Teh, di sini, pada 24 Dis 2018.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memohon mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin kemudian memohon pasport tidak diserahkan kepada mahkamah kerana anak guamnya mempunyai perniagaan di United Kingdom dan perlu menguruskan perniagaannya di sana.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan Salehuddin supaya pasport tertuduh tidak diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 20 Feb ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

(Visited 530 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button