Nasionalpilihan

Lelaki ditahan lakukan ugutan mahu pijak anak saudara

SEORANG remaja perempuan berhadapan dengan situasi cemas apabila bapa saudaranya mengugut mahu memijaknya sambil memegang objek besi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.30 pagi tadi di sebuah rumah di Tasik Tambahan, Ampang, Selangor.

“Mangsa berusia 17 tahun ketika itu berada di ruang tamu di rumah berkenaan bersama keluarga.

“Suspek kemudian telah turun dari tingkat atas rumah tersebut dengan memegang objek besi dan cuba memijak mangsa,” katanya.

Menurut Mohamad Farouk, mangsa yang berada dalam keadaan ketakutan telah membuat laporan polis dan mengesyaki suspek berada di bawah pengaruh dadah.

Jelasnya, mangsa merupakan anak ke empat daripada enam orang adik beradik dan tinggal di rumah berkenaan bersama keluarga dan suspek.

“Susulan laporan, kita telah menahan suspek yang berusia 22 tahun yang juga seorang penganggur di lokasi kejadian.

“Semakan rekod lampau mendapatu suspek mempunyai kesalahan di bawah Seksyen 39(A)(1) ADB, 15(1)(A) ADB dan seksyen 12(2) ADB.

“Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah,” katanya.

Ujarnya, suspek dipercayai berada dalam keadaan halusinasi semasa kejadian dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan. -SM

(Visited 177 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button