Ekonomi

Bank Rakyat perkenal perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik

BANK RAKYAT baru-baru ini memperkenalkan perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik menerusi Akaun Simpanan-i dan Akaun Semasa-i sebagai kemudahan kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan membayar zakat simpanan dengan mudah dan lancar.

Menerusi kemudahan ini, Bank Rakyat mengguna pakai konsep Syariah iaitu kontrak Wakalah yang mana pelanggan sebagai ‘muwakkil’ melantik Bank Rakyat sebagai wakil untuk menguruskan pembayaran zakat kepada agensi mengurus zakat (AMZ) seperti Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan baharu ini memperlihatkan komitmen berterusan Bank berkenaan dalam memanfaatkan rangkaian perkhidmatan dan perbankan digitalnya dengan menyediakan penyelesaian inovatif kepada pasaran untuk kemudahan dan pengalaman terbaik pelanggan, termasuklah membantu meningkatkan kemakmuran ekosistem kewangan sosial dan Islam secara keseluruhannya.

Menurutnya lagi, inisiatif yang juga bertepatan dengan nilai daya cipta Malaysia Madani ini bukan sahaja dapat menggalakkan pelanggan memenuhi tanggungjawabnya malah memastikan kelancaran pelanggan untuk membayar zakat simpanan tahunan mereka pada waktunya.

“Jumlah zakat simpanan akan dihitung secara automatik dan ditolak melalui sistem Bank Rakyat apabila memenuhi syarat haul dan nisab menerusi akaun pelanggan tanpa sebarang caj tambahan. Pelanggan juga akan menerima resit operator zakat dan pemberitahuan daripada Bank yang mengesahkan pembayaran berjaya dilaksanakan.

“Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik ini boleh membuat permohonan di mana-mana cawangan Bank Rakyat berhampiran di seluruh negara,” ujar Bank Rakyat.

Perkhidmatan ini tersedia untuk semua akaun simpanan dan semasa individu seperti Akaun Simpanan-i, Akaun Simpanan-i Ibadah Umrah, Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Akaun Semasa-i Elektronik (eCAi).

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, pelanggan boleh layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 80 5454 dan kunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran. – SM

Artikel berkaitan > Bank Rakyat kembali penuhi impian pelanggan

(Visited 232 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button