fbpx
Politik

Politik perlu jamin kepentingan keselamatan nasional dan rakyat

Penulis: Penganalisis Keselamatan Sektoral, Datuk Dr Ruhanie Ahmad

1. Politik Malaysia kebelakangan ini kelihatan seolah-olah terlalu disempitkan kepada soal kuasa kepartian dan kepentingan peribadi.

2. Ini jelas walaupun situasi politik nasional dan global menuntut tumpuan yang khusus kepada soal keselamatan nasional dan keselamatan rakyat serta kehidupannya.

3. Tumpuan ini bertepatan dengan definisi politik sebagai kaedah untuk menguruskan nasib serta kehidupan kelompok manusia yang besar jumlahnya di sesebuah negara.

4. Ini juga selaras dengan takrif politik sebagai siapa mendapat apa, bila dan bagaimana, dalam sesuatu keadaan yang khusus dan semasa.


5. Dalam ertikata lain, politik Malaysia mutakhir ini mesti memfokus kepada soal membela rakyat yang sedang diancam wabak Covid-19, bukan kepada soal perlumbaan kuasa yang dimotivasikan oleh sifat tamak untuk memelihara kedudukan parti dan nasib peribadi masing-masing.

6. Hakikatnya demikian sebab kebangkitan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah disebabkan oleh karenah para pemimpin utama dalam Pakatan Harapan (PH) yang hanya mementingkan diri sendiri.

7. Contohnya, ada pemimpin utama PH yang obses dengan politik keperdana-menterian sehingga menggugat keabsahan rejim dan menimbulkan keadaan yang mengancam keselamatan politik negara.

8. Ada pemimpin utama PH yang terlalu obses untuk merobah naratif sejarah, naratif identiti nasional dan naratif pembinaan bangsa (nation-building) berasaskan acuan yang jelas tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

9. Tidak kurang juga wujudnya pemimpin utama PH yang hanya menitikberatkan hak demokrasi diri sendiri sehingga menimbulkan masalah kepada pelaksanaan agenda besar yang telah dipersetujui secara bersama demi kemantapan politik nasional, kemakmuran ekonomi dan perpaduan rakyat.

10. Anehnya, apabila PN diwujudkan untuk menangani seluruh karenah di atas, kerajaan ini pula diperlekehkan dengan pelbagai momokan dan ancaman.

11. Segelintir parti politik yang berkongsi kuasa dalam PN juga kini ada yang kelihatan seperti tidak ikhlas dan longgar dengan prinsip setiakawannya.

12. Hakikat di atas mencerminkan perilaku yang obses dalam menggunakan politik sebagai senjata untuk memenuhi kerakusan kuasa, bukan untuk keselamatan nasional dan rakyat jelatanya.

13. Oleh itu, sama-samalah kita tuntut supaya ahli politik Malaysia ketika ini sensitif dan prihatin terhadap nasib rakyat dan kehidupan mereka di era Covid-19.

14. Sementara waktu ini ketepikanlah batas kepartian dan ideologi demi negara dan rakyat jelata. Amalkan cara berpolitik dalam suasana “normal baru” ketika ini. Apabila segala-galanya kembali pulih seperti sediakala, kembalilah berpolitik seperti biasa. -SM

Show More

Related Articles

Back to top button