Nasional

PM hargai sumbangan penjawat awam kepada Akaun Amanah Bencana

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin amat menghargai solidariti yang ditunjukkan oleh penjawat awam dalam memerangi Covid-19.

Muhyiddin berkata, beliau menyambut baik sumbangan penjawat awam kepada Akaun Amanah Bencana melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA).

Tambahnya, sumbangan oleh penjawat awam tersebut membuktikan kebersamaan mereka dalam menggalas tanggungjawab bersama Kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

“Solidariti ini juga adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para ‘frontliners’ yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi kita semua daripada jangkitan pandemik COVID-19.

“Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik COVID-19 ini.


“Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi COVID-19 ini akan terus diberkati Allah SWT. Semoga kita semua dan Malaysia dilindungi daripada ancaman wabak ini. Insya-Allah,” katanya.

Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, mengumumkan sebanyak 50 peratus elaun ITK bagi penjawat awam JUSA A ke atas akan disumbangkan ke dalam tabung berkenaan manakala JUSA B sebanyak 20 peratus serta JUSA C sebanyak 10 peratus.

Bagi gred 44 hingga 56, sebanyak lima peratus dari elaun berkenaan akan disumbangkan.

Selain itu, bagi gred 29 hingga 41, RM10 dari elaun ITKA akan disumbangkan ke dalam tabung itu dalam tempoh tiga bulan.

Sumbangan membabitkan lebih 800,000 penjawat awam itu bagaimanapun tidak termasuk petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 yang dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.-SM

 

(Visited 83 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button