Nasional

Pilihan kursus praperkahwinan secara dalam talian mulai 1 Julai – JAWI

BAKAL pengantin di Wilayah Persekutuan akan diberi kelonggaran untuk mengikuti kursus praperkahwinan secara dalam talian mulai 1 Julai ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

BERNAMA melaporkan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd. Ajib Ismail berkata, mereka yang bakal mendirikan rumah tangga akan diberi pilihan.

Sama ada menghadiri kursus secara fizikal atau dalam talian bagi menyokong amalan penjarakan sosial dan mengelak perhimpunan ramai.

Pelaksanaan itu juga akan menggantikan kaedah ujian pemahaman secara dalam talian yang dijalankan sehingga 30 Jun.

“Kita khuatir kos penganjuran tidak memberi pulangan yang baik kepada penganjur, jumlah peserta tidak ramai kerana perlu penjarakan satu meter.

“Penganjur kursus praperkahwinan ini juga biasanya bukan perniagaan besar, selalu peserta dalam satu kursus boleh muat 80 peserta, sekarang mungkin hanya 30 sahaja, ” katanya.

Mohd. Ajib berkata, bagaimanapun masih terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi selain modul kursus dipadatkan bagi memendekkan masa kursus.

“Modul 13 jam ini akan dipadatkan namun semua tajuk masih ada dan memenuhi keperluan bakal pengantin yang akan memasuki gerbang perkahwinan,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis yang menyaksikan syarikat pembuat roti Gardenia Bakeries Sdn. Bhd., menghulurkan sumbangan 4,000 pek makanan bernilai RM85,000 kepada program bank makanan JAWI untuk diagihkan kepada asnaf dan golongan B40.

Mohd. Ajib juga berkata, sebanyak 52 daripada 284 masjid serta surau Jumaat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berada dalam zon hijau telah mula mengadakan solat berjemaah dan solat Jumaat semalam.

“Senarai nama masjid dan surau Jumaat adalah berdasarkan senarai yang kami terima daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang membuat penilaian pengkelasan (klasifikasi) zon hijau, kuning dan merah.

“Senarai ini akan dikemas kini setiap hari Rabu serta boleh disemak menerusi laman sesawang dan media sosial JAWI,” katanya.- SM

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button