Nasional

PM ajak pakar kesihatan yang tulis surat aduan untuk sertai kumpulan penasihat Covid-19

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk membentuk kumpulan penasihat kesihatan dan saintifik yang akan memberi nasihat kepada pemerintah mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan pandemi Covid-19.

Menjawab surat dari sekumpulan pakar kesihatan yang telah memberikan cadangan, idea dan pendapat yang berkaitan dengan pengurusan wabak Covid-19 di Malaysia, Muhyiddin berkata,  kerajaan telah  mempertimbangkan keprihatinan mereka dan ingin memasukkannya ke dalam hal-hal yang berkaitan dengan wabak tersebut.

“Saya bersetuju untuk membentuk Kumpulan Penasihat Kesihatan dan Saintifik COVID-19 yang akan menasihati kerajaan mengenai perkara-perkara berkaitan dengan pengurusan pandemik COVID-19 dan saya menggesa anda untuk mencalonkan, individu yang sesuai untuk menjadi anggota kumpulan penasihat ini,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata demikian sebagai reaksi kepada surat terbuka yang diterimanya daripada sekumpulan pakar kesihatan pada 7 Jan lepas yang mencadangkan 10 tindakan segera dan kritikal untuk dipertimbangkan dalam usaha menangani kesan buruk akibat COVID-19.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pakar berkenaan yang telah mengetengahkan kepentingan pendekatan dalam surat berkenaan yang membabitkan semua pihak dalam masyarakat dan setuju untuk terus meningkatkan usaha keterlibatan masyarakat, industri, sektor swasta dan komponen penting lain dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Usaha ke arah meningkatkan kepatuhan terhadap peraturan yang dikuatkuasakan demi kebaikan rakyat, akan tetap menjadi keutamaan pentadbiran saya, begitu juga usaha meningkatkan pencegahan.

“Sebagaimana yang anda ketahui, melalui strategi yang dilaksanakan semasa  gelombang kedua, kita berjaya melandaikan lekuk kes harian COVID-19 kepada satu digit selama hampir tiga bulan.
“Namun, dengan peningkatan pergerakan orang ramai dan ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), bermula dengan pilihan raya negeri Sabah, kes harian telah meningkat dan berikutan itu, gelombang ketiga diisytiharkan pada 20 Sept tahun lepas,” katanya.

Sejak itu, tegas Muhyiddin, jumlah kes terus meningkat, sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan langkah-langkah yang lebih ketat seperti Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa mulai 11 Jan hingga 1 Ogos 2021, untuk mengawal penularan virus COVID-19.

Katanya, dengan perisytiharan darurat itu, telah membolehkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) 2021 diwartakan yang membenarkan kerajaan menguruskan wabak dengan lebih berkesan.

Muhyiddin berkata kerajaan juga akan terus mengetepikan politik, sebaliknya memberi fokus ke arah usaha menamatkan penularan wabak COVID-19 dan mengetuai usaha negara ke arah proses pemulihan yang sukar.

“Izinkan juga saya untuk menjawab cadangan terakhir dalam surat anda dan meyakinkan anda bahawa fokus utama pentadbiran saya adalah untuk menguruskan maklum balas dari seluruh negara terhadap wabak ini dan mengurangkan kesannya terhadap aspek sosial dan ekonomi.

“Saya juga memohon dan akan terus meminta agar usaha secara kolektif dijalankan. Saya menghargai hasrat anda untuk menyokong kerajaan dalam hal ini dan berharap dapat bekerjasama dengan wakil anda,” katanya.

(Visited 170 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button