JenayahNasional

Polis buru dua lelaki serang pelajar wanita di Dutamas

POLIS sedang memburu dua lelaki yang didakwa menyerang seorang pelajar wanita di Dutamas, Kuala Lumpur, malam tadi. Salah seorang daripada mereka turut memukul mangsa dengan menggunakan kayu.

Ketua Polis Sentul, ACP Beh Eng Lai mengesahkan kejadian tersebut dan satu laporan telah dibuat oleh mangsa berhubung perkara itu dan polis masih memburu mereka.

DUA suspek diburu polis susulan kejadian menyerang pelajar wanita warga asing di Dutamas. – GAMBAR INSTAGRAM

Menurut Eng Lai, mangsa adalah warga asing yang belajar di sini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 dan 393 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan cubaan menyamun.

“Kejadian berlaku di hadapan SK Kiaramas, Persiaran Dutamas,” katanya.


Ini susulan mangsa berkongsi kejadian itu di Instagram menceritakan bahawa beliau dan rakannya diganggu oleh dua lelaki menaiki motosikal ketika sedang berjalan ke sebuah pusat beli-belah berdekatan.

Pada mulanya, ujar Eng Lai, mangsa dan rakannya tidak mengendahkan kedua-dua lelaki tersebut namun kemudiannya mereka terpaksa berlari ke arah sekolah berdekatan apabila dihampiri oleh lelaki-lelaki itu.

“Salah seorang daripada mereka (berbaju putih) melompat turun daripada motosikal dan berlari ke arah kami untuk menyerang,” katanya di Instagram.

Katanya lagi, “rakan saya berjaya melarikan diri tetapi saya tidak. Penyerang tergelincir dan terjatuh apabila dia menghayunkan batang kayu ke arah saya.”

Peluang ini kata mangsa, digunakannya untuk memukul penyerangnya yang terjatuh.

“Dia menggigit lengan saya, kemudian rakannya turut melompat turun daripada motosikal untuk menyerang saya.

“Jadi saya cuba lari. Saya tidak cukup pantas dan dapat rasa salah seorang daripada mereka memukul saya di bahagian belakang menggunakan kayu.

“Pengawal keselamatan di sekolah itu membuka pintu pagar supaya kami dapat masuk ke pekarangan sekolah untuk menyelamatkan diri tetapi pada ketika itu, kedua-dua lelaki berkenaan telah melarikan diri.

“Saya sudah buat laporan polis, tetapi tolong kongsi mengenai kejadian ini agar ia dapat perhatian,” kata mangsa. – SM

 

(Visited 61 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button