BeritaNasional

Rumah Prihatin kekal sebagai inisiatif bukan berunsur keuntungan – Annuar

Tan Sri Annuar Musa menekankan bahawa inisiatif Rumah Prihatin akan kekal sebagai gerakan yang tidak berunsurkan keuntungan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau memegang amanah supaya program berkenaan dilaksanakan demi kepentingan masyarakat dan bukan berasaskan keuntungan.

Justeru itu, ujar beliau, sumbangan yang diberikan oleh agensi kerajaan, swasta dan individu akan digunakan sepenuhnya bagi membiayai program kebajikan.

Rumah Prihatin digerakkan oleh beliau semasa bertugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan tempoh hari.

Antara perkhidmatan yang diberikan termasuk kaunseling kepada masyarakat yang mengalami tekanan perasaan ketika mengharungi kehidupan ketika pandemik Covid-19.

Selain itu bantuan barangan keperluan kepada orang ramai tetap diteruskan.

Dalam pada itu ketika menjawab pertanyaan wartawan beliau berkata kenyataan bersama memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan intipati perbincangan antara pihak kerajaan dan juga pembangkang mungkin akan dikeluarkan hari ini.

Menurut Annuar, yang juga merupakan ahli jawatankuasa yang dilantik mewakili pihak kerajaan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara dasarnya bersetuju dengan syor yang telah dinyatakan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak setakat ini.

“Ini adalah sebahagian agenda transformasi tersebut yang membabitkan pentadbiran, politik, Parlimen dan tatatkelola kerajaan agar kerajaan lebih inklusif dan mampu menangani masalah negara dalam menghadapi pandemik, ekonomi dan lain-lain dengan lebih baik.

“Dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak, kita harap akan ada kenyataan bersama pada hari ini,” katanya ketika hadir Program Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Golongan Memerlukan Rumah Prihatin di ibu negara pagi tadi.

Namun jelasnya, persefahaman itu masih tertaluk kepada syor-syor yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak untuk dimuktamadkan sedikit masa lagi.

“Ia telah dibincangkan secara terperinci, Perdana Menteri dan kabinet setuju untuk jawatankuasa ini sediakan draf untuk dimuktamadkan.

“Setakat ini kita alu-alukan kenyataan pihak Pakatan Harapan dan mereka cenderung untuk bersetuju dengan syor tertaluk beberapa perkara untuk diputuskan,” jelasnya.

Annuar juga menjelaskan apa yang sedang diusahakan ini adalah inisiatif pihak kerajaan yang mempunyai kesungguhan dalam merencanakan transformasi politik yang lebih tersusun.

Perbincangan terhadap memorandum persetujuan ini membabitkan lima wakil daripada pihak kerajaan dan enam daripada blok gabungan parti-parti pembangkang.

Tambahnya persetujuan antara kedua-dua belah pihak juga berkemungkinan membabitkan perkara-perkara pindaan perlembagaan dan akta sedia ada.

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button