fbpx
Nasional

PKP: Zoo Negara terima RM1.3 juta dari Kerajaan Pusat

SEMUA pihak terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan bermula 18 Mac lalu dalam usaha untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Antara organisasi yang terkena tempias PKP ialah Zoo Negara yang mana, pendapatan datangnya dari hasil jualan tiket kepada orang ramai.

Disebabkan pengunjung, sama ada dalam mahupun luar negara, tidak dapat berkunjung ke Zoo Negara maka pendapatan hasil daripada jualan tiket, terjejas.

Keprihatinan kerajaan terhadap nasib pengurusan Zoo Negara direalisasikan apabila pihak pengurusan Zoo Negara menerima RM1.3 juta dari Kerajaan Pusat.

Pemberian bantuan RM1.3 juta ini kepada Zoo Negara adalah dalam usaha membantu bagi membolehkan Zoo Negara bangkit dalam mengendalikan hidupan liar yang ditempatkan di situ.

Penyerahan cek RM1.3 juta kepada pihak pengurusan Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor, disempurnakan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasara pagi ini.

Usai majlis penyerahan cek dan lawatan ke konservasi panda, Dr. Shamsul Anuar mengadakan sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh portal berita Malaysia Gazette (MG).

Menurut Dr. Shamsul Anuar, penyerahan bantuan itu merupakan dana awal yang diberikan dan pihak kementerian percaya, ia boleh digunakan oleh pihak pengurusan Zoo Negara untuk bekalan makanan dan keperluan haiwan-haiwan sepanjang tempoh perintah PKP yang dilaksanakan oleh kerajaan pada ketika ini.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli sehingga kini telah melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara telah mengeluarkan 34 permit kepada pengendali zoo dan kepada Pameran Tetap Hidupan Liar di seluruh negara.

“Maknanya bukan hanya di Zoo Negara tetapi ada 14 premis pengendali zoo di seluruh negara, 20 pusat Pameran Tetap Hidupan Liar yang turut masa terkesan.

“Ini bermakna sebagai kerajaan dan kementerian yang prihatin, respons dan tindakan segera kepada hidupan  liar, zoo dan pusat pengendalian dikendalikan oleh swasta, perlu dilaksanakan,” katanya.

Kata Dr. Shamsul Anuar lagi, pihaknya mendapat maklumbalas yang lengkap di bawah pengendalian Jabatan Perhilitan untuk membuat penilaian secara teliti berhubung masalah yang dihadapi oleh pihak pengurusan dan pengendali zoo.

Ini kerana pihak kementerian, ujar Dr. Shamsul Anuar, cukup faham bahawa pendapatan utama semua zoo dan pusat pameran tetap bergantung kepada tiket pelawat dari dalam dan luar negara.

Apabila tempoh PKP yang dilaksanakan, kata Dr. Shamsul Anuar, ia menyebabkan ramai pelancong tidak dapat hadir dan melawat seperti biasa.

“Kementerian meneliti dan menunggu laporan lengkap melihat secara keseluruhan keadaan pengurusan dan pengendali premis zoo.

“Kita berharap, pihak korporat, GLC, swasta dan individu yang sayang kepada hidupan liar dan binatang, turut sama membantu. Bantuan bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam bentuk sumbangan makanan,” jelasnya.

Di zoo dan tempat tempat lain di seluruh negara termasuk di Perlis dan Pulau Langkawi, Dr. Shamsul Anuar memberitahu, mereka bersedia menerima bantuan dan boleh berhubung terus dengan pihak zoo yang berkenaan.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang menunggu laporan terperinci Jabatan Perhilitan dan badan yang mengendalikan pusat-pusat ini.

“Kita bukan sahaja bincang menyelesaikan isu PKP tetapi memikirkan apa yang perlu dilakukan kepada Zoo Negara supaya menjadi lebih baik dengan memikirkan juga apakah modul dan kaedah baharu serta bentuk kerjasama yang boleh dijalankan,” katanya.

Menjawab soalan pemberita berhubung dana Kerajaan negeri, beliau berkata, “Kita menyambut baik jika Kerajaan Negeri turut sama membantu zoo dan pusat pameran tetap di negeri masing-masing.

“Selain itu, kita amat mengalu-alukan dan menggalakkan sokonan dan bantuan yang dihulurkan oleh pihak swasta dan NGO.”

Dalam masa yang sama, pihak pengurusan Zoo Negara sendiri sedang giat dengan Kempen Haiwan yang dikendalikan oleh mereka sendiri.

Kempen haiwan angkat atau adoption ini dibuat melalui website yang mana sumbangan secara one-off atau bulanan boleh dibuat menerusi pakej yang disediakan termasuklah bantuan makanan, perubatan dan perusahaan haiwan secara berterusan.

Mereka yang menyumbang akan menerima e-Sijil yang mana, nama mereka sebagai penderma akan tercatat di laman web Zoo Negara. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button