Nasional

Anwar bincang hala tuju ekonomi negara dengan Johari Ghani, KJ

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan terkait hala tuju ekonomi negara antaranya bersama-sama ahli ekonomi, Datuk Seri Johari Ghani dan juga Khairy Jamaluddin (KJ).

Antara yang turut hadir adalah Pengerusi bersama Ahli-ahli Lembaga Pengarah daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Datuk Nor Azmie Diron, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi.

“Ini sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk mendapatkan buah fikir serta pandangan mengenai ekonomi negara daripada segenap lapisan masyarakat,” katanya dalam catatan di Facebook, semalam.

Perdana Menteri Anwar berkata, perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.

Beliau berkata, segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi MADANI yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang.

Katanya lagi, pakar ekonomi yang beliau temui juga bersetuju bahawa mereka mempunyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah atau tantangan yang melanda ekonomi negara dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.

“Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran.

“Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara.

“Namun Kerajaan ini tekad dan akan bekerja keras untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan,” ujar beliau.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat. #MalaysiaMADANI – SM

 

(Visited 204 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button