Nasional

Peniaga kecil tak perlu CIMS MITI sepanjang PKP 3.0

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan, penjaja kecil dikecualikan daripada mendapatkan kelulusan operasi Intelligent Management System (CIMS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 bermula semalam, 1 Jun sehingga 14 Jun nanti.

Dalam satu kenyataannya hari ini, KPKT berkata, penjaja kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mendapat permit penjaja sama ada kekal atau sementara tidak perlu memperoleh kelulusan sebaliknya memadai hanya menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan oleh PBT.

Kebenaran untuk berniaga ini hanya terpakai untuk penjaja kecil sahaja dan bukan untuk operasi pasar tani, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu, kata kenyataan itu.

“Keputusan ini adalah berkuat kuasa serta-merta dan terpakai sepanjang tempoh PKP 3.0,” jelasnya.

Sebelum ini kerajaan menetapkan hanya beberapa sektor dibenarkan beroperasi dengan kelulusan melalui CIMS MITI.

Dalam pada itu, KPKT turut memaklumkan, sekiranya lokasi perniagaan mereka melibatkan pergerakan merentas daerah, mereka perlu mendapatkan kebenaran polis dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT berkenaan.

KPKT dalam kenyataan yang sama berkata, semua penjaja kecil yang telah diberi kebenaran beroperasi dan melakukan pergerakan rentas daerah mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM). – SM

(Visited 419 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button