Nasional

PKP 3.0: Program Perlis Pahadoi ringankan beban penerima bantuan

Oleh SHOLINA OSMAN

SEORANG warga emas, Kamariah Nordin, 76, masih buntu apabila memikirkan wabak Covid-19 yang belum menampakkan tanda-tanda penamat. Mana tidaknya, tidak cukup dengan itu, kerajaan pula mengumumkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 1 hingga 14 Jun ini.

Kamariah Nordin (kiri) menerima sumbangan Program Perlis Pahadoi yang disampaikan Azihani Datuk Ali (tengah) sambil disaksikan Salmah Mohamed Yusof di Lorong Tepi Sungai, Jalan Tok Peduka, Kangar.

Sekaligus hidup Kamariah yang bergantung harap kepada anak lelakinya yang bekerja sendiri, turut terjejas gara-garap PKP 3.0.

Memanglah pada tanggapan orang,  apalah sangat kalau cuma hendak makan “dua mulut” tetapi PKP 3.0 tetap memberikan kesan perit kerana pendapatan harian anak lelakinya terjejas.

Bagaimanapun, Kamariah bernasib baik menjadi antara rakyat Perlis yang sesekali tidak dilupakan oleh  kerajaan negeri sebagai penerima bantuan Program Perlis Pahadoi.

NORHASHIMI MAT

Pahadoi adalah perkataan yang diambil dari loghat Perlis bermaksud “prihatin” dan program itu telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dengan peruntukan RM1.5 juta baru-baru ini.


Untuk rekod, keperluan asas yang bernilai RM50 ini diedarkan setiap tiga hari di sepanjang PKP. Ia diuruskan oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat atau Pusat Khidmat Menteri Besar dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Berbalik kepada kisah warga emas, raut wajah Kamariah penuh kegembiraan apabila Setiausaha Sulit Khas Menteri Besar yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sena, Azihani Datuk Ali hadir untuk menyerahkan sumbangan bantuan tersebut di rumahnya di Lorong Tepi Sungai, Jalan Tok Peduka, dekat Kangar, petang semalam.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi JPKK Cawangan Taman Melati, Salmah Mohamed Yusof.

Selain itu, lapan lagi penduduk yang tinggal di perkampungan berkenaan turut menerima bantuan.

Salah seorang penerima bantuan, Nirat Awang, 79, ketika ditemui wartawan SUARA MERDEKA, turut melahirkan rasa syukur kerana dengan adanya bantuan ini, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban beliau sekeluarga.

“Rasa terharu yang amat sangat kerana kerajaan ambil pahadoi,” katanya ringkas tetap penuh bermakna.

Begitu juga dengan seorang lagi penerima bantuan, Norhashimi Mat, 54, yang turut berterima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan dan bantuan yang dihulurkan kepada masyarakat termasuk dirinya.

“Bantuan ini tepat pada masanya sebab ramai terjejas pendapatan termasuk saya,” katanya yang memjaga ayahnya yang berusia 98 tahun dan keadaan kesihatan ayahnya juga tidak begitu baik. – SM

(Visited 220 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button