Ekonomi

Kerajaan rangka dasar Anti Ali Baba, percepatkan hala tuju NETR

SECARA prinsip budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan Kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini.

Anggaran kerugian mencecah sekitar 1% daripada KDNK dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran, kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Oleh yang demikian, kata Anwar, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara dengan penglibatan Kementerian dan Agensi Kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti rent-seeking dan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat membincangkan dua perkara utama yakni merangka perundangan berhubung budaya Ali Baba (rent-seeking) dan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), semalam.

Perdana Menteri berkata, adalah perlu mempercepatkan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) sebagai pemangkin kepada strategi mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam tenaga boleh baharu.

“Projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu Kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu harus diberi perhatian.

“Juga termasuk membentuk permintaan pasaran serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut,” ujar beliau.

Anwar berkata, bagi Fasa Pertama NETR akan mengetengahkan 10 projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040.

Jelas Anwar, Fasa Pertama NETR itu, jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion selain mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative).

“Peluncuran NETR Fasa Pertama akan diadakan pada 27 Julai ini dan disusuli oleh peluncuran NETR Fasa Kedua pada Ogos.

“Melangkah ke hadapan, MTEN akan terus merumuskan langkah dan inisiatif baharu untuk menangani pelbagai tantangan melibatkan perekonomian negara bagi memastikan penambahbaikan tatakelola serta perubahan struktur secara teratur demi meningkatkan potensi ekonomi negara,” katanya.

Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara mencapai Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 dan sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan kemajuan teknologi semasa dan memenuhi keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kesejahteraan Malaysia dan rakyatnya, kata Perdana Menteri. – SM

BACA Khazanah jual tujuh aset pelaburan, terbaharu pegangan dalam Alibaba

BACA Lanskap alam semula jadi Perlis jadi tarikan pelancong

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button