Negeri

Peniaga pasar pagi di Klang dibenar beroperasi esok

PENJAJA dan peniaga pasar pagi di sekitar bandar Klang yang ketika ini berada dalam zon merah dibenarkan untuk memulakan aktiviti perniagaan esok.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu kenyataan mewajibkan semua peniaga dan penjaja di daerah tersebu menyediakan termometer sendiri untuk menyukat suhu badan pelanggan.

Menurut Yang Dipertua MPK, Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, ketetapan itu bertujuan melatih peniaga dan penjaja mengamalkan displin kendiri di samping mengawal penularan Covid-19.

“Penjaja juga dikehendaki menyediakan QR code untuk diimbas oleh pelanggan atau menyediakan buku rekod kehadiran pelanggan.

“Bagi pasar pagi, pihak MPK akan menyediakan QR kepada setiap peniaga yang berniaga di tapak masing-masing.


“MPK amat mengutamakan keselamatan peniaga dan pelanggan, justeru itu penyediaan kawalan kendiri perlu diperkasakan terhadap semua peniaga sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, peniaga diwajibkan memasang tirai tembus pandang (saiz tirai bergantung kepada kesesuaian saiz gerai) di kiri dan kanan gerai masing-masing bagi mengurangkan risiko jangkitan.

“Melalui pemasangan tirai, peniaga-peniaga pasar pagi adalah dibenarkan untuk berniaga setiap hari bagi pasar pagi harian atau setiap minggu bagi pasar pagi seminggu sekali dan tiada lagi penggiliran perniagaan.

“Peniaga juga dikehendaki untuk memantau pelanggan yang hadir supaya sentiasa mematuhi jarak fizikal 1 meter dan peniaga sendiri haruslah mengambil barang yang dijual untuk diberikan kepada pelanggan,” katanya.

Peniaga turut dibenarkan untuk mengambil inisiatif sendiri melakukan kawalan pematuhan SOP di laluan utama keluar masuk pasar tersebut seperti menggunakan perkhidmatan RELA.

Tegas beliau, MPK akan menutup mana-mana pasar dan perniagaan peniaga dan penjaja yang gagal mematuhi syarat-syarat pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

“Tanggungjawab pematuhan SOP kawalan kendiri adalah tertakluk kepada peniaga-peniaga sendiri sekiranya mereka ingin meneruskan perniagaan di pasar malam dan pagi,” katanya.

Sehingga semalam, daerah Klang adalah daerah di Selangor yang mempunyai jumlah kes aktif tertinggi iaitu 2,682 kes aktif.

Daerah itu semalam mencatatkan 441 kes baharu iaitu kedua tertinggi di Selangor. Sehingga kini daerah itu mencatatkan kematian seramai 29 orang.-SM

 

 

 

 

(Visited 153 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button