Politik

Perwakilan pondok bertemu Muhyiddin

Oleh Norliza Abdullah Yusuf

PERTUBUHAN Muafakat Pondok Se Malaysia (PMPS) menyokong penuh perjuangan Perikatan Nasional (PN) yang jelas mempertahankan agama Islam, mengekalkan keistimewaan institusi raja-raja dan hak istimewa Bumiputera.

Pengerusi PMPS, Marzuki Yusof berkata, pihaknya menyokong perjuangan PN kerana berpegang teguh kepada syariat Islam aliran Ahlu Sunnah wal Jamaah terbukti berjaya menjaga keharmonian amalan beragama.

Beliau berkata, PN juga memegang amanah utama menjaga kesejahteraan rakyat dan negara berasaskan dasar dan nilai Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Kami menolak parti politik yang tidak menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan dan tidak menzahirkan kesetiaan kepada Kuasa dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Kami juga dengan tegas menolak parti yang tidak menghormati Kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Menolak calon yang disabit jenayah rasuah, tidak berintegriti, mendokong fahaman Komunisme, Ekstrimisme, Liberalisme atau apa- apa aliran ideologi yang bercanggah dengan pegangan agama,” katanya.

Marzuki berkata, pihaknya terus menyokong PN yang tidak menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai pilihan membentuk kerajaan atau menjadi gabungan kerajaan.

Petang semalam, sekumpulan 15 perwakilan PMPS seluruh negara yang mewakili 313 sekolah mengadakan pertemuan yang berlangsung di kediaman Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Batu Pahat, Johor, semalam.

Hadir sama, Pengarah Sekolah Islam Hatimurni; Engku Ahmad Fadzil Engku Ali dan Pengerusi Persatuan Guru Agama Pondok Pantai Timur, Syed Suhaimi Syed Hassan.

Semua sekolah berkenaan mempunyai 21,910 murid dengan setiap sekolah menempatkan 70 hingga 100 murid.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pada pertemuan ringkas itu hadirin berbincang akan hala tuju dan fungsi sekolah pondok dalam melahirkan lebih ramai ulama dan hafiz serta hafizah sebagai pelapis ilmuan generasi akan datang.

Turut dibincang antaranya usaha memperkasa silibus pendidikan supaya setanding Sijil Tinggi Agama Malaysia.

“Saya yakin usaha murni ini boleh dilaksana menerusi penyelarasan kurikulum yang diiktiraf badan akreditasi.

“Telah saya nyatakan bahawa dalam Manifesto Pilihan Raya Ke-15, PN juga memberikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz.

“Ini bagi memastikan persekitaran sekolah yang kondusif. Bantuan penyelenggaraan akan diberikan kepada semua sekolah pondok atau tahfiz yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Negeri,” katanya.

Kesungguhan PN memperjuangkan Islam turut diiringi doa daripada anak tahfiz seluruh negara. Doa itu dizahirkan pada program Munajat Pilihan Raya diadakan baru-baru ini sehingga menjelang tarikh pemilihan.

“Saya sangat menghargai doa semua pihak memohon supaya negara terselamat daripada bencana dan tidak dipimpin pihak yang tidak amanah, salah guna kuasa dan secara terang memusuhi Islam.

“Semoga ikhtiar kita dengan berdoa selepas berusaha ini diberkati Allah SWT. Berkat kesungguhan kita berjuang menegakkan kemungkaran ini dikabulkan dan dapat pentadbir negara dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab,” katanya. -SM

 

Ends

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button