Politik

Apa lagi selepas PRN Johor?

HARI telah berlangsung pengundian awal membabitkan pengundi anggota tentera dan polis di seluruh Johor dengan peratus jumlah keluar mengundi adalah 73 peratus.

Peratusan itu agak tinggi kerana ia membabitkan pilihan raya negeri ketika seluruh negara dibelenggu pelbagai masalah termasuk bencana alam, ekonomi dan pandemik.

Peratusan pengundian memainkan peranan

Namun peratusan itu dijangka merosot pada hari pilihan raya sepenuhnya pada 12 Mac ini. Dan jika jumlah pengundi rendah iaitu di bawah 70 peratus, Barisan Nasional akan mencatatkan kemenangan bergaya sekitar 39 hingga 42 kerusi.

Dan ini juga bermakna kerusi milik Perikatan Nasional akan merosot di bawah 10 kerusi, manakala Pakatan Harapan akan memperolehi sekitar tujuh kerusi.

Sementara Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia dan Pejuang pula dijangka tidak akan berjaya memenangi sebarang kerusi pada kali ini.

Ini juga bermakna Barisan Nasional akan mendapat mandat yang kuat bagi membentuk kerajaan negeri sebagaimana di Melaka tempoh hari.

Apa akan jadi kepada UMNO dan Barisan Nasional

Jika kemenangan mutlak itu dicapai oleh Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO, parti itu dijangka mengemukakan usul supaya Parlimen dibubarkan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO pada Mac ini.

Selaku Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal berdepan dengan desakan parti dan jika beliau akur, maka pilihan raya umum akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Jun, walaupun penggal pemerintah sepatutnya tamat pada 2023.

Melihatkan situasi semasa, pihak pembangkang tidak akan dapat menghalang hasrat UMNO itu kerana mereka berada pada kedudukan defisit sokongan rakyat.

Pakatan Harapan sendiri diserang teruk semasa memerintah selama 22 bulan kerana gagal menunaikan manifesto pilihan raya mereka.

Perikatan Nasional pula yang memerintah pada masa ini sedang bergelut dengan pelbagai cabaran khususnya yang berkaitan dengan pandemik Covid-19, sukar untuk memperlihatkan prestasi sebenar mereka.

Jika dilihat para pemimpin UMNO yang sebelum ini melompat parti atau akrab dengan pihak lain, kini telah bersedia untuk merujuk kepada parti berkenaan demi survival politik.

Bahkan pemimpin parti serpihan UMNO dikhabarkan sedang giat mencari ruang dan peluang untuk diberikan tempat di dalam UMNO.

Ini bermakna mereka telah mengesan jarum kompas kiblat politik kini berat ke arah UMNO.

Jika ini berlaku UMNO memerintah negara, diharapkan parti itu telah membersihkan diri daripada para pemimpin toksik semasa pemilihan parti serta barisan kepimpinan baharu terdiri daripada mereka yang telah insaf selepas melalui fasa kekalahan pada pilihan raya yang lalu.

Saf kepimpinan seharusnya membawa aspirasi rakyat dan bukannya wajah lama yang hanya mahu mengekalkan legasi mereka di dalam parti.

Senario lain dan nasib parti lain

Namun tempoh empat hari berkempen macam-macam boleh berlaku. Mungkin juga Perikatan Nasional bakal melakukan kejutan dengan memenangi banyak kerusi iaitu melebihi 10 kerusi atau lebih baik daripada itu, cukup kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

Jika itu berlaku bermakna aura Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipanggil Abah cukup kuat di Johor dan slogan membentuk kerajaan yang berintegriti telah diterima oleh Bangsa Johor.

Jika senario ini berlaku UMNO akan mencari seseorang untuk dipersalah pada perhimpunan agung kelak dan antara sasarannya ialah para jemaah menteri di dalam kerajaan Perikatan Nasional termasuk Perdana Menteri sendiri.

Mereka akan dituduh tidak bersungguh-sungguh untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang.

Mungkin ke tahap lebih teruk mereka akan dilabel sebagai pengkhianat dan tidak dicalonkan pada pilihan raya umum kelak, dengan alasan bagi membersihkan parti itu daripada gunting dalam lipatan.

Apakah nasib Pejuang dan Muda?

Bagi parti yang belum kering cap jari seperti Pejuang dan khususnya Muda pilihan raya negeri ini penentu hala tuju mereka kerana ini adalah buat pertama kali mereka melibatkan diri di dalam pilihan raya.

Namun mereka tidak akan pupus begitu sahaja kerana walaupun parti mereka masih hijau, tetapi mereka dianggotai oleh para pemimpin dan ahli parti yang telah lama terlibat di dalam politik.

Ini adalah sebahagian daripada perubahan lanskap politik negara yang kini begitu dinamik dan berusaha mencari titik keseimbangan selepas Barisan Nasional tumbang pada pilihan raya lalu selepas memerintah selama berdekad-dekad.

 

 

 

 

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button