fbpx
Politik

Pertelingkahan PKR tambah syak wasangka Malaysia ditangan salah

KUALA LUMPUR – Pertelingkahan membabitkan penyokong dan pemimpin tertinggi parti dalam kerajaan iaitu PKR menambahkan syak wasangka bahawa Malaysia berada dalam tangan yang salah.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika Perhimpunan Agung UMNO 2019 berjalan dengan baik perhimpunan agung PKR penuh berantakan sehingga ada yang berbalut kepala.

“Perpecahan sudah luar biasa dari atas hingga ke bawah. Jika dilihat perbalahan yang diwarnai dengan skandal dan ‘power play’ yang berkisar kepada perebutan kuasa dalam kerajaan. Apa akibatnya kepada rakyat dan negara?” kata Mohamad.

Lebih membimbangkan menurut Mohamad, pergaduhan dalaman PKR kini bertambah buruk apabila mula membabitkan mereka yang berjawatan menteri yang sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian untuk membangunkan negara.

“Mereka bergaduh mengenai milik siapa jawatan Perdana Menteri dan sampai bila. Pergaduhan mereka ialah mengenai siapa lebih layak menjadi Perdana Menteri dan siapa punya skandal lebih buruk dan hangat sensasi.


“Apalah nak jadi dengan Malaysia baru ni. Dah jadi Malaysia haru biru. Pertelingkahan ini pasti menambahkan syak wasangka bahawa Malaysia berada dalam tangan yang salah,” kata Mohamad.

Apa yang menyedihkan menurut Mohamad, pertelingkahan pemimpin PKR bukan kerana mahu mencari jalan mengatasi kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham, atau mencari sebab mengapa hutang negara terus meningkat tanpa hala tuju jelas.

Malah persengketaan dalam PKR tidak langsung berkaitan bagaimana mahu membantu kehidupan orang kampung, petani, nelayan, peneroka felda dan pekebun kecil yang semakin menderita dan tidak mendapat bantuan mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin melambung.

Pertelingkahan dalaman PKR juga tidak langsung membantu peniaga kecil yang kian tersepit dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini.

“Sejak perubahan pentadbiran negara, berbilon ringgit pelaburan asing meninggalkan Bursa Malaysia. Prestasi Bursa Malaysia antara terburuk di dunia sepanjang setahun ini.

“Menurut laporan FMT, minggu lepas sahaja sejumlah RM700.2 juta dana asing meninggalkan Bursa Malaysia. Sehingga minggu lalu jumlah dana asing yang keluar dari Malaysia bagi tahun 2019 sudah melebihi RM10 bilion,” kata Mohamad.-SM

 

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button