Politik

Mujahid persoal kerajaan tarik balik keputusan jual aset TH Plantations

BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mujahid Yassin mempersoalkan tindakan kerajaan menarik balik keputusan menjual anak syarikat TH Plantations Bhd (THP), Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco).

Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempersoalkan, sama ada keputusan itu menjadi contoh awalan campurtangan politik dalam amalan pengurusan korporat yang telus.

Mujahid berkata, tujuan rasionalisasi aset adalah untuk menyelamatkan aset ladang lain yang membawa pulangan tinggi manakala aset yang membebankan perlu dilepaskan supaya THP dapat berkembang dengan baik.

Justeru katanya, usaha menyelamatkan kewangan THP adalah urusan biasa amalan pengurusan korporat yang tertakluk di bawah peraturan Bursa Malaysia.

Tegas beliau, THP mempunyai ahli lembaga yang bebas membuat keputusan atas kepentingan kewangan syarikat.


“Malangnya isu THP menjadi isu politik yang membawa naratif aset dan harta orang Islam yang dijual kepada orang Cina’. Campurtangan politik telah menjejaskan perjalanan THP yang kini mengalami pendarahan teruk.

“Apakah ini satu contoh awalan campurtangan politik dalam amalan pengurusan korporat yang telus? Apakah entiti korporat tertakluk kepada tekanan politik sehingga kerajaan TSMY tidak mampu mempertahankan satu keputusan perniagaan yang telah pun diperakui pada 24 November kewajarannya?” soal Mujahid.

Mujahid berkata, beliau akan membuat beberapa pendedahan yang didakwanya penyelewengan yang berlaku dalam Tabung Haji dan THP.

“Saya akan dedahkan lagi banyak isu yang telah merosakkan institusi umat Islam TH termasuk THP dan TH induk sebelum saya ambil alih.

“Malah laporan polis telah pun dibuat atas jenayah korporat terbesar yang memaksa saya membuat penstrukturan semula TH. Nantikan,” kata Mujahid.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam satu kenyataan bersama berkata, keputusan yang dibuat pada 4 Disember lalu adalah berdasarkan situasi semasa dengan mengambil kira pelbagai faktor.

“Kami bertekad untuk terus memajukan TH Plantations dan Lembaga Tabung Haji (TH) dengan lebih berjaya dan gah di dalam negara serta di persada antarabangsa.

“Kami berdoa dan bermunajat kepada-Nya semoga Allah SWT memberkati usaha kami dalam memartabatkan institusi TH,” kata kenyataan berkenaan.

Keputusan itu diambil beberapa jam selepas Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji membuat pendedahan mengenai penjualan aset Tabung Haji itu kepada syarikat bukan bumiputera di Dewan Rakyat.-SM

 

 

(Visited 578 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button