fbpx
Politik

Elok bermaaf-maafan untuk lembaran baru kerjasama PN, BN

SEMUA pihak dalam Perikatan Nasional dan Barisan Nasional diajak untuk bermaaf-maafan serta membuka lembaran baru kerjasama yang lebih kukuh untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Kepimpinan dan ahli parti dalam PN dan BN juga wajar menghentikan serta merta kenyataan yang boleh mengguris hati dan perasaan yang tidak melambangkan pendirian parti masing-masing.

Naib Presiden Bersatu Mohd. Fariq Naizamohideen berkata, serangan seharusnya dihala kepada pihak musuh dan bukannya sesama sendiri.

“Semua Pimpinan PN mahupun BN harus menghentikan perbalahan secara terbuka termasuk melalui kenyataan media dan kenyataan di media-media sosial. Gunakan platform & forum yang betul seperti diskusi tertutup untuk menguruskan segala perbezaan pendapat.

“Perbuatan menyerang sesama sendiri akan hanya menghilangkan keyakinan rakyat kepada kita dan menguntungkan serta menggembirakan pihak lawan,” kata Mohd. Fariq dalam satu kenyataan.


Jelas Mohd. Fariq, Pilihan Raya Negeri Sabah telah membuktikan formula kerjasama PN, BN dan Parti Bersatu Sabah telah berjaya menumbangkan Warisan Plus yang turut dianggotai PKR dan DAP.

Keputusan PRN di Sabah juga memperlihatkan setiap parti di bawah GRS mempunyai kekuatan dan peranan tersendiri.

“Semua pimpinan utama PN, BN dan PBS bukan sahaja berkongsi pentas berceramah yang sama, malah menubuhkan jawatankuasa untuk menghasilkan Aku Janji GRS secara bersama.

“Tanpa penglibatan dan sumbangan salah satu parti iaitu PN, BN atau PBS tidak mungkin kerajaan baru dapat dibentuk di Sabah,” kata Mohd. Fariq.

Beliau percaya sekiranya semua pihak ikhlas dan bersatu hati gagasan PN dan BN akan berjaya menewaskan Pakatan Harapan dan Warisan dengan cemerlang pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ketika ini beberapa pihak dalam UMNO dan Bersatu saling menghalakan serangan ke atas satu sama lain.-SM

 

 

(Visited 12 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button