Politik

PN kerajaan di hujung tanduk, majoriti terlalu tipis

Bubar parlimen langkah terbaik untuk kembalikan kuasa kepada rakyat

SELEPAS dikira semula kini Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai majoriti dua kerusi di Parlimen.

Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat yang melahirkan rasa terkejut kerana diletakkan di dalam blok kerajaan sedang beliau adalah yang tidak menyokong Langkah Sheraton dan menyatakan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Satu lagi kedudukan anih di Parlimen hari ini ialah Baru Bian yang merupakan bekas pemimpin Pakatan Harapan yang juga tidak tetap pendirian sama ada menyokong Langkah Sheraton atau tidak.

Dengan majoriti sokongan 113 ahli parlimen kerajaan hari ini nyata ibarat Telur Di Hujung Tanduk. Bila-bila masa sahaja boleh tumbang jika berlaku pergerakan sokongan ke pihak lain.

Kini timbul persoalan apakah kerajaan ini akan kekal untuk persidangan parlimen akan datang?

Nampaknya kerajaan hari ini boleh juga diibaratkan seperti Kais Pagi Makan Pagi, Kais Petang Makan Petang. Esok entah lusa semuanya boleh berubah sekelip mata.

Kemungkinan besar kerajaan akan membubarkan parlimen adalah tinggi kerana agak sukar untuk bergerak dengan majoriti dua kerus sahaja.

Walaupun risikonya besar, tetapi ia perlu dilakukan kerana sampai bila kerajaan akan terumbang ambing dan politik berterusan akan menghancurkan negara.

Janganlah terus dibiarkan negara ini diperkotak-katik oleh orang politik yang siang malam hanya memikirkan bagaimana mahu mengekalkan kuasa mereka.

Jadi pertaruhan kerajaan PN ialah kejayaan mereka menangani penularan wabak COVID-19 dan pada masa yang sama mengatasi kesan ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat.

Jika ia berjaya dilakukan kemungkinan besar rakyat akan memberi mandat besar kepada PN.

Pada masa yang sama Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai peluang besar untuk kembali berkuasa, sama ada dengan sokongan di Parlimen atau melalui pilihan raya.

Dr. Mahathir masih lagi faktor utama untuk menarik sokongan ahli parlimen termasuk blok Datuk Seri Shafie Apdal di Sabah yang kini mempunyai sokongan selesa sebagai kerajaan negeri.

Sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada PN juga bukanlah yang sesuatu yang mutlak. Ia boleh berubah pada bila-bila masa khususnya apabila berlangsung pilihan raya negeri Sarawak.

PN juga bukan satu bentuk kerjasama yang mutlak kerana sokongan masing-masing boleh berubah sekelip mata. Jika keputusan pilihan raya tidak berpihak kepada PN, sokongan akan beralih kembali kepada PH.

Oleh itu PH masih mempunyai harapan yang tinggi kerana cara mereka digulingkan tempoh hari masih lagi perbualan dan rasa tidak puas hati khususnya bagi golongan berpendidikan tinggi yang tidak terbelenggu dengan politik perkauman serta agama.

Apa yang Dr. Mahathir harus lakukan ialah mengawal Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak terlalu gelojoh untuk menjadi perdana menteri dan pada masa yang sama beliau perlu memastikan pemimpin Cina DAP betul telah dineutralkan sebagaimana dilakukan oleh UMNO di dalam Barisan Nasional (BN) terhadap Cina MCA dan Gerakan.

Kenyataan Dr. Mahathir bahawa bukan DAP yang menghancurkan Melayu adalah sebahagian daripada komunikasi tersebut. Apabila ia tidak ditentang dan Melayu sendiri tampil mengakuinya makan isyaratnya adalah jelas perkara itu telah berjaya.

Walaupun dari dahulu Dr. Mahathir sendiri yang mengajar orang Melayu bahawa DAP merupakan parti yang totok memperjuangkan kaum Cina dan mahu merampas hak orang Melayu.

Jika itu semua berlaku mungkin Dr. Mahathir dapat mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar. – SM

 

 

 

(Visited 313 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button