Rencah Hidup

Murid asnaf terima barangan Aidilfitri hampir luput tarikh

IBU bapa kepada pelajar sebuah sekolah rendah di Bangi kecewa apabila sumbangan Aidilfitri terdiri daripada makanan kering yang diberikan kepada murid-murid asnaf sekolah itu hampir tamat tarikh luput.

Seorang penjaga hanya mahu dikenali sebagai Fahmi berkata, beliau terkejut apabila ibu bapa murid asnaf dari kelas anaknya berkongsi gambar makanan kering yang akan tamat tarikh luput pada 29 April ini.

“Saya sedih melihat sumbangan yang diterima mereka. Sepatutnya pihak sekolah lebih peka barang apa yang perlu diberi. Bukan hanya terima sahaja barangan yang mereka dapat dan terus beri kepada murid.

“Sumbangan Aidilfitri tetapi bagi mi segera, mentega yang tak pernah kita tahu kewujudan jenamanya dan hampir kesemua barangan kering itu dari Indonesia.

“Bagilah kuih raya atau sumbangan wang tunai. Itu lebih sesuai kalau nak bagi untuk sumbangan raya,” katanya.

Menurut beliau, sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan derma dalam kalangan murid yang dimaklumkan oleh pengurusan sekolah bagi tujuan membantu murid-murid asnaf menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau yang hampa dengan kejadian itu berkata, walaupun anaknya bukan penerima sumbangan namun pihak sekolah tidak boleh mengambil mudah isu berkenaan.

“Inikah makanan yang nak kita beri kepada anak-anak kita? Pihak sekolah melarang membawa makanan yang tidak berkhasiat tetapi yang ini jugalah diberikan kepada murid asnaf,” katanya. – FMT – SM

(Visited 1,120 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button