fbpx
Politik

Pendakwaan: Usaha halang Guan Eng ketuai kempen DAP di Sabah? – Mat Sabu

PRESIDEN Parti Amanah Negara Mohamad Sabu mempersoalkan pendakwaan terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini.

Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu mempersoalkan sama ada pendakwaan tersebut ketika Pilihan Raya Sabah sedang berlangsung bagi menghalang Guan Eng mengetuai kempen DAP di Pilihan Raya Sabah bermula esok.

“Apakah Motif Mendakwa Lim Guan Eng Ketika PRN Sabah? Memerangi rasuah adalah agenda utama Pakatan Harapan dan Index Persepsi Rasuah (CPI) meningkat mendadak dibawah pemerintahan PH dari kedudukan ke 61 kepada 51 negara paling tidak rasuah.

“Sesiapa sahaja yang terbukti terlibat dengan gejala tersebut boleh didakwa. Namun dalam kes Lim Guan Eng, adakah pendakwaan ketika musim pilihanraya ini satu usaha untuk menghalang beliau mengetuai kempen pilihanraya DAP di Sabah?” tanya Mat Sabu.

Guan Eng yang merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang akan menghadapi dua pertuduhan baharu berkaitan penyalahgunaan harta, di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.


Dia berhadapan Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Seksyen 403 Kanun Keseksaan (KK), berkaitan kesalahan penyalahgunaan harta untuk kepentingan peribadi atau menyebabkan individu lain melupuskan sebarang harta, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 7 Ogos, Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pada 10 Ogos lalu, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 billion.

Zarul adalah Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Pada 11 Ogos pula, Guan Eng sekali lagi didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), untuk rasuah wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Beliau mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.-SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button