Politik

Pas perlu diberi 2 ADUN lantikan Sabah sebagai bukti setiakawan

PAS Sabah layak diberikan dua kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan sebagai bukti semangat setiakawan atas jiwa besar parti itu tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, tindakan Pas tidak bertanding turut menyumbang kepada faktor kemenangan Gabungan Rakyat Sabah.

“Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia mendengar sebahagian permintaan tuntas rakan komponen dari Perikatan Nasional dan Barisan Nasional serta segmen lapisan masyarakat Bumiputera Islam di Sabah yang menyatakan PAS perlu diberi dua ADUN lantikan sebagai bukti semangat setiakawan atas jiwa besar PAS Sabah sebagai antara faktor kemenangan Gabungan Rakyat Sabah.

“Maka, Dewan Pemuda PAS Malaysia amat menyokong penuh agar PAS Sabah diberi dua ADUN lantikan dalam membantu pemerintahan Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor daripada Perikatan Nasional,” kata Khairul Nizam.

Menurutnya pelantikan tersebut pastinya akan impak yang besar kepada politik nasional dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-15 tidak lama lagi.

Pas sebelum ini membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat demi memelihara permuafakatan bersama rakan sekutunya.

Tindakan itu diambil kerana menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat untuk bertanding di keseluruhan 73 kerusi dalam PRN Sabah setelah usaha rundingan dimuktamadkan.

Pas telah mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan-rakan dalam PN dan MN bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dapat diserlahkan dalam PRN Sabah demi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik di masa mendatang.

Jentera PAS Sabah dan para Menteri Persekutuan dari PAS turut turun berkempen memberikan penerangan untuk membina keyakinan kepada masyarakat Muslim di Sabah dan pengundi-pengundi tegar PAS agar memberikan undi yang solid kepada rakan permuafakatan BN dan PN.

“Seperti yang kita maklumi, formula ini akhirnya membuahkan hasil dan ia menjadi pujian ramai pihak di media sosial dan diakui oleh para marhaen di Sabah.

“Tanpa peranan dari PAS Sabah, kemungkinan besar Gabungan Rakyat Sabah mungkin menghadapi kesukaran sepanjang PRN Sabah apatah lagi jauh sekali untuk membentuk kerajaan yang dikecapi pada hari ini,” kata Khairil Nizam.-SM

(Visited 244 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button