Politik
Trending

ADUN Maharani positif Covid-19 selepas pulang dari Sabah

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok didapati positif Koronavirus (Covid-19) walaupun keputusan saringan awal beliau negatif.

Beliau sebelum itu memaklumkan berkunjung ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu dan menjalani ujian saringan.

Susulan pulang dari Sabah, beliau bertindak untuk mengambil inisiatif untuk menjalani kuarantin kendiri di kediamannya.

Inisiatif tersebut diambil walaupun tiada sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan bagi menjalaninya.

“Beliau telah menjalani ujian saringan kedua pada 4 Oktober lalu dan menyambung pengasingan kendiri.

“Sehingga dimaklumkan keputusannya pada semalam yang beliau didapati positif Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan.”

Demikian kata Nor Hayati dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) hari ini.

Tambahnya, sebaik pulang daripada Sabah, Nor Hayati bekerasama rapat dengan pihak berkuasa dan tidak hadir ke sebarang program melibatkan orang ramai.

“Semua kontak rapat kepada beliau telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muar telah menjalani ujian saringan dan sedang menanti keputusan dalam masa terdekat.

“Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan terus menghubungi sesiapa yang berkontak rapat dengan beliau untuk menjalani saringan.

“Pihak kami memohon maaf kepada semua yang terkesan walaupun segala langkah kuarantin di rumah dan pencegahan telah dipatuhi sepanjang tempoh ini.

“Sekali lagi, kami menggesa agar warga Maharani tidak panik dengan mesej-mesej yang tular.

“Sebaliknya sentiasa mendapatkan informasi sahih daripada pihak KKM sahaja dan menyeru masyarakat menghentikan sebarang spekulasi.

“Masyarakat juga diminta memberi ruang kepada beliau dan keluarga untuk melalui ujian ini dengan tenang dan mendoakan kesihatan dan kesejahteraan Nor Hayati.

“Agar dapat terus berkhidmat dan berbakti kepada seluruh rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, kenyataan itu turut memaklumkan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan mesej palsu berkaitan Nor Hayati.

Ini kerana, dakwa kenyataan itu, terdapat maklumat peribadi dan keluarga turut didedahkan dalam mesej tersebut.

Justeru, individu yang menularkan mesej terbabit telahpun dikenal pasti dan akan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Pihak kami menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadi beliau dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” tegasnya. – SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button