Parlimen

Pembangkang tewas kali kedua undi belah bahagi Belanjawan 2021

AHLI Parlimen pembangkang sekali lagi gagal buat kali kedua hari ini untuk tidak meluluskan peruntukan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa kepada Kementerian.

Pembangkang tewas dalam pengundian belah bahagi terhadap peruntukan Belanjawan 2021 kepada Kementerian Kewangan di bawah Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengumumkan belanjawan kepada Kementerian Kewangan diluluskan selepas 107 ahli Parlimen bersetuju.

Seramai 95 ahli Parlimen tidak bersetuju manakala 19 ahli Parlimen tidak hadir.

Dalam pengundian kira-kira pukul 4.22 petang itu Ahli Parlimen Kota Raja (Amanah) Mohamad Sabu bangit meminta undian belah bahagi sebaik sahaja Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zaftul Tengku Abudl Aziz selesai mengulung. Cadangan oleh Mohamad Sabu itu disokong oleh 15 ahli Parlimen.


Loceng kemudian dibunyikan selama dua minit untuk memanggil ahli-ahli Parlimen masuk ke dalam Dewan Rakyat.

Tempoh 10 minit diberikan kepada ahli Parlimen untuk masuk sebelum pintu dewan ditutup dan pengundian dijalankan.

Pembangkang gagal dalam percubaan pertama untuk tidak meluluskan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri di bawah Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada pukul 2.30 petang tadi.

Kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berjaya meluluskan peringkat dasar Belanjawan 2021 dengan mudah Khamis lalu.

Walaupun terdapat percubaan untuk meminta undi belah bahagi pada ketika itu, hanya 13 daripada ahli Parlimen pembangkang bangun, kurang dua daripada disyaratkan untuk membenarkannya dilakukan.

Ahli Parlimen Pembangkang dikritik keras oleh penyokong-penyokong mereka kerana tidak melakukan undi belah bahagi untuk menolak Belanjawan 2021 pada peringkat dasar itu.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin terdapat 25 kementerian.

Setiap kementerian akan melalui pengundian peringkat jawatankuasa oleh Ahli Parlimen sebelum peruntukan Belanjawan 2021 diluluskan kepada kementerian terbabit.

(Visited 373 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button