Nasional

Situasi terkini Covid-19 di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada Minggu Epidemiologi ke-46 (ME 46/2023) iaitu dari 12 November 2023 hingga 18 November 2023, sebanyak 2,305 kes COVID-19 telah dilaporkan.

Peratusan kes COVID-19 yang dilaporkan pada ME 46/2023 meningkat sebanyak 28.0 peratus, berbanding 1,801 kes yang dilaporkan pada ME 45/2023 (5 November 2023 hingga 11 November 2023).

Kadar kemasukan pesakit COVID-19 (termasuk pesakit yang disyaki COVID-19) ke fasiliti kesihatan menurun kepada 2.0 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 46/2023 berbanding ME 45/2023.

Pada ME 46/2023 pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 0.4 peratus, manakala peratus pengisian katil bukan kritikal COVID-19 pula adalah sebanyak 0.7 peratus. Sehingga kini, situasi COVID-19 masih terkawal di Malaysia.

Pada ME 46/2023, sebanyak 21 varian Omicron baharu dilaporkan yang terdiri daripada 20 kes Variant of Concern (VOC) dan 1 kes Variant of Interest (VOI). Sehingga kini sebanyak 785 kumulatif kes currently circulating VOI (XBB.1.16, XBB.1.5, dan EG.5) dengan 783 kes tempatan dan 2 kes import.

Pecahan kes merangkumi 143 kes di Sarawak, 136 kes di Selangor, 119 kes di WP Kuala Lumpur, 117 kes di Melaka, 59 kes di Johor, 52 kes di Kedah, 37 kes di Pulau Pinang, 24 kes di Terengganu, 23 kes di Sabah, 21 kes di Kelantan, 16 kes di Negeri Sembilan, 12 kes di Perlis, masing-masing sembilan (9) kes di Perak dan WP Putrajaya, dan lapan (8) kes di Pahang.

Sehingga ME 45/2023, hasil aktiviti survelan Influenza-Like Illness (ILI) dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) bagi COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 61 sampel ILI dikesan positif
COVID-19 dengan kadar positif 7.0 peratus.

Manakala sebanyak 69 sampel SARI dengan kadar positif 3.0 peratus pada ME 45/2023.

Berdasarkan data sehingga 31 Oktober 2023, hanya 16,348,414 penduduk Malaysia (50.1 peratus) telah menerima dos penggalak pertama dan hanya 828,148 penduduk Malaysia (2.5 peratus) telah menerima dos penggalak kedua.

Risiko kemasukan ke hospital dan keterukan gejala boleh dikurangkan dengan pengambilan dos penggalak.

KKM menjangkakan kemungkinan sedikit peningkatan kes COVID-19 akan berlaku susulan pergerakan dan perjumpaan sanak saudara dan sahabat handai ketika sambutan perayaan dan aktiviti-aktiviti perkumpulan.

Sehubungan itu, KKM ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti berikut:

Kerap mencuci tangan dengan pensanitasi serta memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak;
• Kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, dan ibu mengandung juga digalakkan memakai pelitup muka;
• Mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek) sekiranya bergejala;
• Disarankan untuk mendapatkan rawatan antiviral Paxlovid di Klinik Kesihatan terdekat bagi individu positif COVID-19 dan berisiko tinggi bagi mengurangkan risiko mendapat komplikasi jangkitan yang serius; dan

• Mendapatkan dos primer vaksin dan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan, morbiditi, dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
23 NOVEMBER 2023

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button