Mahkamah

Pemandu lori sebabkan kematian tiga beranak direman sehingga Isnin

Seorang pemandu lori penyelenggaraan direman tiga hari bagi membantu siasatan kemalangan maut tiga beranak di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat di Alor Gajah, Melaka pagi semalam.

Perintah reman sehingga Isnin ini terhadap lelaki berusia 43 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah, Syarina Shaarani@Tan di Kompleks Mahkamah Melaka Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Lelaki itu direman bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun dan denda RM20,000.

Terdahulu suspek berpakaian lokap tiba di pekarangan kompleks mahkamah diiringi anggota polis kira-kira pukul 9.50 pagi menaiki kenderaan polis.

Dalam kejadian semalam, pasangan suami isteri termasuk bayi lelaki mereka berusia setahun maut selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori dipercayai diletakkan di lorong paling kanan lebuh raya berkenaan.

Mereka yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28, isterinya, Zubaidah Abd. Rajak, 28, dan bayi mereka, Muhammad Rizqi, 1, dalam nahas kira-kira pukul 11,00 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, lori jenis Isuzu yang sedang menjalankan kerja pembaikan pembahagi jalan tengah telah berhenti di lorong paling kanan dan proses meletakkan kon.

Beliau berkata, kereta dinaiki mangsa jenis Honda Jazz yang datang dari arah belakang telah melanggar lori tersebut.

Dalam pada itu, jenazah tiga beranak itu selesai menjalani proses bedah siasat pukul 12 malam tadi di Hospital Alor Gajah dan akan dibawa ke Bukit Pasir, Muar, Johor untuk dikebumikan. – SM

(Visited 165 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button