MahkamahNasional

Bunuh, tanam mayat: 2 warga India dipercayai ada hubungan sulit didakwa

DUA warga India didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki, dua tahun lepas.

Varun Kumar, 30, dan Lachhami Devi, 23, hanya mengangguk selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua tertuduh didakwa membunuh seorang lagi warga India, Arshdeep Singh, 25, di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Jaya pada pukul 1.30 pagi, 31 Oktober 2021.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 April. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Varun diwakili peguam Pritam Singh Doal manakala Lacchami yang juga isteri mangsa, tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Varun yang merupakan rakan sekerja mangsa di rumah orang tua itu didakwa membunuh mangsa selepas hubungan sulit dengan isteri mangsa terbongkar.

Varun mengaku melakukan perbuatan itu kepada rakannya awal bulan ini dan rakannya melaporkannya kepada polis.

Semasa siasatan, Varun dikatakan telah membawa polis ke lereng bukit di belakang rumah tersebut, tempat Arshdeep ditanam.

Dia dipercayai membunuh Arshdeep dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau. – FMT – SM

 

(Visited 264 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button