MahkamahNasional

600 terima VSS Utusan bersorak gembira, lain-lain bekas kakitangan berputih mata?

Mahkamah putuskan penerima VSS adalah pemegang amanah, bukan pemiutang

MALAM tadi bukan 800 tetapi 600 bekas kakitangan syarikat Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd yang mengambil tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bayaran runcit-runcit, bukan sekaligus tidur lena sambil tersenyum sampai ke telinga.

Masakan tidak kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan yang dinanti-nantikan oleh kumpulan yang mengambil VSS kerana bayaran 12 bulan seperti mana yang pernah dijanjikan oleh syarikat yang sudah gulung tikar itu, tidak dikotakan.

Umpama lembu dipegang pada tali, manusia berpegang pada janji tetapi janji manis syarikat pada waktu itu sekadar menanam tebu di tepi bibir.

Nasib lain-lain bekas kakitangan Utusan belum pasti kerana mereka yang duduk di bawah NUJ atau persatuan, membawa isu tersebut ke mahkamah perusahaan.

Jangan pula bekas kakitangan Utusan yang tidak mengambil VSS, dianaktirikan dan berputih mata kerana tuntutan tidak dilayan oleh juru penyelesai.

Cukup-cukuplah sindrom anak emas, anak tiri, anak pungut atau dipayung oleh bos itu bos ini yang kuat dalam syarikat suatu ketika dahulu.

Apa perlukah yang lain-lain bawa tuntutan ke mahkamah seperti kelompok VSS yang nampaknya berjaya dengan langkah “see you in court”.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nadzarin Wok Nordin semalam memutuskan, 600 bekas kakitangan Utusan Melayu yang mengambil tawaran VSS dan masih belum menerima bayaran hampir RM60 juta dalam gaji dan faedah tertangguh, dianggap sebagai pemegang amanah, bukannya pemiutang.

Kelompok bekas kakitangan Utusan yang dapat kerja dalam Utusan 2.0 senyap sahaja kerana mereka tidak bimbang, cukup bulan ada gaji!

Semangat setiakawan jauh sekali ditunjukkan oleh kelompok selamat ini, bahkan kalau terjumpa dengan bekas kakitangan yang ZERO CLAIM, larik!

Hakim Nadzarin berkata, “Mahkamah ini mendapati semua harta Utusan perlu dimasukkan dan ditambah kepada definisi harta amanah tersebut.

“Saya berpuas hati dalam kes di hadapan saya, unsur-unsur amanah telah dibuktikan dan oleh itu, amanah boleh dikatakan sebagai tersirat.

“Memandangkan mahkamah melihat bahawa pekerja yang terlibat dalam pelaksanaan VSS adalah penerima manfaat harta amanah, mereka berhak mendapat manfaat harta itu.”

Jelas lagi terang keputusan yang dibuat oleh Hakim Nadzarin di mana penutupan atau gulung tikar syarikat genap tiga tahun pada 9 Oktober, baru-baru ini perlu membuat bayaran kepada penerima VSS.

Hakim Nadzarin berkata, terdapat hanya lapan pembayaran dibuat oleh Utusan Melayu yang  dahulunya dikuasai UMNO kepada kakitangan yang mengambil VSS sebelum pelaksanaan pembubaran sukarela (CVL) pemiutang bertarikh 7 Oktober 2019.

“Masih terdapat jumlah tertunggak sebanyak RM59,403,367.97. Hanya 593 kakitangan VSS telah memfailkan bukti hutang (POD) mereka kepada juru penyelesai,” katanya.

Nadzarin berkata, beliau telah melihat syarat-syarat VSS yang memerlukan sejumlah 12 pembayaran dalam tempoh 12 bulan.

Dan bayaran yang perlu dibuat kepada pekerja VSS selepas potongan berkanun, hutang dan proses rasmi lain selesai.

Hakim menyatakan bahawa surat bertarikh 8 Oktober 2019 oleh Pengerusi Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menyatakan persetujuan telah dicapai di mana pembayaran VSS akan dibuat menggunakan dana yang diperoleh daripada penjualan harta Kumpulan Utusan atau Utusan.

Beliau berkata, latar belakang itu adalah bukti kononnya terdapat komitmen plaintif (syarikat) untuk menyelesaikan bayaran VSS daripada penjualan aset Kumpulan Utusan.

Sebelum ini dilaporkan Utusan Melayu mempunyai hutang sebanyak RM323.98 juta kepada pemiutang-pemiutang bercagar.

Dan juru penyelesai atau liquidator yang dilantik memberi keutamaan bayaran yang diperoleh kepada pemiutang-pemiutang bercagar.

Dan yang meminta pembubaran aset Utusan Melayu untuk membayar hutang tertunggak dan komitmen lain, kata dokumen itu lagi.

Pada September 2018, syarikat Utusan Melayu dilaporkan telah menawarkan VSS kepada kakitangannya.

Tetapi syarikat itu kemudiannya menghadapi masalah untuk meneruskan pembayaran selepas pemiutangnya memohon pembubaran asetnya pada 2019 menyebabkan pekerja campur tangan dalam proses penggulungan.

Persoalannya, kalau kumpulan yang mengambil VSS bakal menerima bayaran selanjutnya, apakah nasib bekas kakitangan Utusan Melayu yang bekerja sehingga saat akhir syarikat gulung tikar pada 9 Oktober 2019?

Semua bekas kakitangan Utusan Melayu yang masih hidup tidak akan lupa dipanggil pada pukul 1 tengah hari, diberikan surat pemberhentian kerja oleh Big Bos dan mesti mengosongkan bangunan Ibu Pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin, Sungai Besi atau Jalan Utusan, Kuala Lumpur sebelum pukul 6 petang.

Selepas pukul 6 petang, semua pintu dikunci dan dirantai kerana UTUSAN GULUNG TIKAR! – SM

(Visited 935 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button