Luar Negara

Pelajar pulang dari Filipina jadi kes pertama Covid-19 di Kepulauan Solomon

Kepulauan Solomon telah hilang status bebas Covid-19

PERDANA Menteri Manasseh Sogavare melahirkan rasa dukacitanya kerana Kepulauan Solomon telah hilang status bebas Covid-19.

Semuanya gara-gara seorang pelajar yang pulang dari Filipina baru-baru ini menjadi orang pertama yang positif Covid-19 di negara itu.

Menurut laporan South China Morning Post, pihak berkuasa kepulauan itu sedang menjejaki kontak-kontak pelajar berkenaan.

“Dukacita saya memberitahu bahawa kita telah hilang status bebas daripada Covid-19 meskipun usaha kolektif untuk menghalang wabak itu memasuki negara ini,” kata Sogavare kelmarin dalam pengumuman melalui televisyen.

Sogavare menyeru rakyat negara itu yang mempunyai 600,000 orang penduduk supaya bertenang sambil berkata, buat sementara waktu, tiada keperluan untuk melaksanakan perintah berkurung pada masa ini.

Untuk rekod, pelajar berkenaan yang didapati negatif selepas menjalani saringan kesihatan Covid-19 sebanyak tiga kali semasa di Filipina sebelum menaiki pesawat yang membawa 96 penumpang.

Dia bagaimanapun didapati positif dalam ujian rutin ke atas ketibaan ke ibu negara Honiara dan kini dikuarantin.

Sebanyak 18 pelajar lain yang positif Covid-19 masih menjalani kuarantin di Manila.

Sejak penutupan sempadan Solomon berkuat kuasa Mac lalu, lebih 400 orang pelajar terkandas di Filipina yang juga menghadapi impak besar daripada penularan pendamik itu.

Dengan tekanan daripada ibu bapa, pegawai Solomon mengatur tiga penerbangan khas untuk membawa pulang rakyat negara tersebut dan kumpulan pertama tiba pada Selasa lepas.

Walaupun mencatat kes positif Covid-19 pertama, Sogavare berkata, kerajaan akan meneruskan usaha membawa pulang baki pelajar yang terkandas.

Hanya negara kepulauan serta wilayah yang kecil dan terpencil seperti Kiribati, Pulau Marshall, Micronesia, Nauru, Palau, Samoa, Tonga, Tuvalu dan Vanuatu dipercayai masih bebas daripada penularan Covid-19. – SM

 

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button