Luar Negara

Isteri dakwa lebih pikul tanggungjawab dalam rumah tangga, mahkamah China arah suami bayar pampasan!

Sebuah mahkamah perceraian di Beijing memerintahkan seorang lelaki untuk membayar ganti rugi kepada isterinya atas kerja-kerja menguruskan rumah tangga yang dilakukannya selama lima tahun berkahwin.

Wanita itu akan menerima 50,000-yuan selama lima tahun dia “bekerja” sebagai “buruh tanpa gaji”.

Keputusan itu dibuat setelah negara China memperkenalkan satu undang-undang perkahwinan baharu yang mula berkuat kuasa tahun ini.

Menurut kenyataan dari mahkamah, lelaki yang dikenali dengan nama keluarga Chen itu telah memfailkan cerai pada tahun lalu dari isterinya, Wang, setelah mereka menikah pada tahun 2015.

Pada mulanya Wang enggan bercerai, namun kemudian meminta pampasan kewangan daripada bekas suaminya dengan alasan bahawa Chen tidak memikul tugas menguruskan kerja-kerja rumah tangga dan menjaga anak mereka.


Atas permintaan Wang, Mahkamah Daerah Fangshan Beijing memerintahkan Chen membayar alimoni bulanan sebanyak 2,000-yuan kepada Wang serta pembayaran “one-off” sebanyak 50,000-yuan untuk kerja-kerja rumah yang telah dilakukan Wang sepanjang mereka bersama.

Hakim kes ini memberitahu bahawa pembahagian harta bersama pasangan setelah berkahwin biasanya melibatkan perpecahan harta benda nyata.

“Namun kerja-kerja rumah merupakan nilai harta tak ketara”, jelas hakim yang menguruskan kes mereka ini.

Di bawah undang-undang baru tersebut, pasangan berhak untuk mendapatkan ganti rugi dalam perceraian sekiranya dia lebih memikul tanggungjawab dalam membesarkan anak, menjaga saudara-mara yang sudah tua, dan membantu pasangan dalam pekerjaan mereka.

Sementara itu di media sosial, kes ini telah mencetuskan perdebatan yang hangat dengan tanda pagar yang berkaitan dengan kes ini di platform microblogging, Weibo dilihat lebih dari 570 juta kali.

Beberapa pengguna media sosial berpendapat bahawa 50,000-yuan selama lima tahun bekerja adalah satu jumlah yang sedikit!

“Saya sedikit tergamam, pekerjaan seorang suri rumah sepenuh masa diremehkan.

“Di Beijing, pengambilan pengasuh selama setahun berharga lebih dari 50,000 yuan,” kata salah seorang pengguna yang memberikan komennya berhubung dengan isu ini.

Manakala, ada juga yang berpendapat wanita perlu meneruskan kerjaya setelah berkahwin.

“Para wanita, ingatlah untuk selalu berdikari. Jangan berhenti bekerja setelah berkahwin. Berikan diri anda kebebasan sendiri”, tulis seorang pengguna media sosial

(Visited 162 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button