AgamaNasionalNegeri

Hakim Syarie perlu faham Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Hakim Syarie yang berkhidmat di Perlis hendaklah memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah pada majlis sumbangan bantuan MAIPs kepada 140 asnaf di Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri.

Baginda bertitah, malah Hakim Syarie juga perlu memahami dengan jelas pegangan dan fahaman serta amalan agama Islam di Perlis yang berdasarkan Ahlu Sunnah wal Jama’ah.

Selain itu titah Baginda, Hakim Syarie hendaklah mahir perkara berkaitan hukum syarak dan Enakmen-enakmen negeri yang terpakai ketika ini.

“Antaranya adalah Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Enakmen Undang-undang Keluarga 2006, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah 2006, Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2006, dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 2006,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 140 asnaf terpiilih.

Ia melibatkan 70 anak kariah Bukit Keteri dan 70 lagi dari kariah Chuping yang masing-masing menerima bantuan wang tunai RM700 setiap seorang dengan jumlah penuh dari MAIPs bernilai RM98,000 di Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan sumbangan bantuan MAIPs kepada salah seorang asnaf di Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri.

Sehubungan itu Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Hakim Syarie juga perlu memahami Perlembagaan Persekutuan dan rohnya serta memberi perhatian dan pengiktirafan terhadap undang-undang Persekutuan yang sedang berkuatkuasa.

“Pelajari dan mahir undang-undang Persekutuan yang berkaitan dengan hak-hak peribadi orang Islam di Malaysia seperti Akta Pencen, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Akta Syarikat, Kanun Tanah Negara, Akta Perempuan Bersuami Dan Anak-Anak (Penguatkuasaan Nafkah), Akta Kanak- Kanak, dan lain-lain Akta yang berkaitan.

Baginda bertitah, walaupun akta-akta tersebut bersifat Federal, undang-undang ini hendaklah di fahami dan dirujuk supaya apa-apa perintah yang dibuat oleh Hakim Syarie tidak bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta atau undang-undang semasa negara yang sedang berkuatkuasa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyantuni kanak-kanak ketika berkenan berangkat ke majlis penyampaian bantuan MAIPs di Masjid Mahmudiah, Bukit Keteri.

“Ia juga bagi memastikan perintah Hakim Syarie tersebut boleh dilaksanakan tanpa sekatan daripada mana-mana undang-undang yang ada di dalam negara,” titah Baginda. – SM

BACA Peguam syarie perlu kuasai undang-undang sivil – Raja Muda Perlis

(Visited 58 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button