Nasionalpilihan

Pusat Kecemerlangan RISDA dibina di Padang Terap

SEBUAH Pusat Kecemerlangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bernilai RM15 juta akan dibina di daerah ini.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, sebagai langkah persediaan untuk mempersiapkan tenaga kerja di Kedah Rubber City (KRC), tidak lama lagi.

Menurut Perdana Menteri, pusat kecemerlangan itu akan berperanan untuk memberi latihan kepada anak-anak tempatan bagi mendalami ilmu berkaitan industri getah.

Langkah itu katanya diyakini mampu membantu masyarakat setempat mendapatkan latihan terbaik sebelum bekerja di KRC.


“Saya dimaklumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa KRC akan membuka hingga 6,000 peluang pekerjaan, jadi sudah pastilah yang akan mengisi peluang pekerjaan itu merupakan warga Padang Terap.

Justeru bagi melatih anak-anak tempatan mendalami perkara berkaitan getah sebelum ditempatkan di KRC, maka mereka perlu diberi latihan. Oleh itu saya nak maklumkan bahawa kerajaan akan wujudkan Pusat Kecemerlangan RISDA dengan kos RM15 juta.”

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia Padang Terap di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang, dekat sini, hari ini.

Lebih 15,000 rakyat pelbagai kaum hadir ke program tersebut yang diadakan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di negeri ini selama tiga hari bermula hari ini di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Ketika ini nilai pelaburan KRC dianggarkan berjumlah RM3 bilion dan dijangka terus meningkat mencecah RM10 bilion pada masa akan datang.

Sementara itu Perdana Menteri berkata, Padang Terap yang juga daerah bersempadan dengan Thailand, dijangka menjadi sebuah daerah maju dalam waktu terdekat kesan daripada limpahan ekonomi yang dibawa KRC.

Justeru katanya bagi menyokong pembangunan itu, kerajaan bercadang untuk membangunkan pelbagai infrastruktur termasuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta pembangunan infrastruktur lain seperti jalan empat lorong dari Pokok Sena ke Durian Burung.

“Sebelum ini ketika saya bertemu bekas Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha, kami berdua bersetuju untuk membangunkan kawasan bandar bersempadan di kedua-dua negara kerana sumbangan perdagangan di sempadan adalah cukup besar iaitu mencecah USD10 bilion (RM44.8 bilion).

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada nilai perdagangan antara Malaysia dan Thailand berjumlah USD 23 bilion (RM103 bilion). Oleh itu kita akan bangunkan kawasan bandar sempadan termasuk Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta pembangunan infrastruktur lain seperti jalan empat lorong tersebut demi menyokong pembangunan di sini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kemajuan pembangunan KRC berada di landasan tepat.

Ia termasuk naik taraf jumlah bekalan elektrik dan loji Rawatan Air Padang Sanai bagi memenuhi keperluan dan kegunaan KRC yang sekaligus memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

“Ada dah syarikat yang memohon kebenaran merancang untuk membina kilang, cumanya kita minta supaya serentak dengan Kerajaan Negeri iaitu yang pertamanya adalah sambungan bekalan elektrik daripada Jitra daripada Tanjung Pauh ke KRC dimana yang itu dah lulus cuma kita mohon untuk dipercepatkan proses bekalan elektrik sampai ke KRC.

Yang keduanya ini urusan Kerajaan Negeri iaitu membesarkan loji rawatan air Padang Sanai untuk membolehkan bekalan air, itupun dah ada bajet di bawah Northern Coridor Implimentation Authority (NCIA),” kata Mahdzir. – SM

Artikel berkaitan > Peruntukan RM1.16 juta perkasa “Kampung Kita Keluarga RISDA”

(Visited 30 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button