Mahkamahpilihan

Curi 147 produk kosmetik ibu tunggal dipenjara lapan bulan

Gara-gara mencuri 147 produk kosmetik dan kesihatan bernilai RM13,002.23 seorang ibu tunggal anak empat dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini.

Dia berdepan empat pertuduhan mencuri 147 produk kosmetik dan kesihatan bernilai RM13,002.23 sejak April lalu mengaku bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni dan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Tertuduh, Sazila Isa, 40, berdepan tiga pertuduhan di hadapan Khairunnisak dengan niat curang telah mencuri 115 produk kecantikan dan kesihatan pelbagai jenis keseluruhannya berjumlah RM9,709.88.

Kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berbeza Farmasi Guardian di Jalan Bunga Raya dan Kipmall, Jalan Tun Fatimah, Bachang dalam daerah Melaka Tengah antara 29 April hingga 6 September lalu.

Bagi pertuduhan di hadapan Sharda Shienha, tertuduh turut mengaku bersalah bagi pertuduhan mencuri 32 produk sama keseluruhannya berjumlah RM3,291.75 di Farmasi Guardian Mahkota Parade pada pukul 8.15 malam 26 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman dari tarikh ditangkap dan denda rendah dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal kepada empat anak.

Katanya, anak guamnya melakukan perbuatan tersebut adalah untuk melangsaikan hutangnya kerana hanya bergantung kepada bantuan zakat RM400 sebulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar dan Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara dari tarikh ditangkap pada 9 September lalu dan denda RM5,500 bagi semua kesalahan itu atau dua bulan penjara jika gagal membayar dendan. – SM

(Visited 101 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button