fbpx
Nasional

Kaji penerimaan rakyat sebelum laksana kompaun RM10,000

CADANGAN mengenakan kompaun RM10,000 bagi kesalahan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) masih di peringkat cadangan.

Ia hanya akan dilaksanakan selepas mendapat reaksi penerimaan oleh rakyat di samping mengambil kira kepentingan situasi terkini di mana negara sedang berusaha membendung penularan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, cadangan untuk menaikkan kadar kompaun daripada RM1,000 sekarang kepada RM10,000 perlu melihat kepada reaksi masyarakat terlebih dahulu selain memerlukan pindaan di Parlimen sebelum boleh dikuatkuasakan.

“Kalau mahu menaikkan nilai kompaun itu, ia bagaimanapun harus melihat kepada penerimaan masyarakat dan perlu dibentangkan di Parlimen untuk pindaan akta.

“Kalau ia diterima oleh masyarakat dan melihat kepada aspek membendung penularan itu lebih penting kerana kalau kita tengok rantaian COVID-19 mungkin berubah, ada yang mempunyai efektiviti lebih tinggi dengan boleh menjangkiti lebih ramai pesakit dan kes akan bertambah.


“Kalau itu menjadi antara sebab iaitu bagi mengelak orang dijangkiti dan amalan norma baharu, maka cadangan terbabit perlu dibawa ke Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Persatuan Fertiliti Preservasi Malaysia (MSFP) dan Perkhidmatan Preservasi Tisu Ovari (OTC) serta Penamaan Pusat Reproduktif Termaju (ARC) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memberitahu, pihak kementerian sudah membentangkan kepada kerajaan untuk menaikkan denda bagi kesalahan kompaun mengikut Akta 342 dari kadar semasa RM1,000 kepada RM10,000.

Ini ekoran denda sekarang dilihat terlalu rendah menyebabkan ramai yang melanggar sesuka hati hingga menjejaskan keselamatan orang lain.

Ini termasuk mereka yang perlu melakukan kuarantin wajib terutama yang dipakaikan gelang merah jambu. – SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button