NasionalRencah Hidup

Ingatkan model batik, rupanya model kuih, ais krim seloroh Ismail Sabri

USIKAN warganet terhadap baju bercorak batik yang dipakai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setiap kali mengadakan sidang akhbar harian turut mencuit hati Menteri Kanan Kluster Keselamatan  itu.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak sangka corak batik pada baju yang dipakainya itu dikaitkan dengan kuih dan ais krim.

Menurut Menteri Pertahanan itu, sebelum ini dia merasakan dirinya sebagai model untuk mengayakan batik Malaysia tetapi kini dilihat sebagai model kuih dan ais krim oleh rakyat Malaysia.

“Kreatif betul warganet. Baju saya dah jadi kueh mueh. Saya ingat saya jadi model batik Malaysia je. Rupa-rupanya jadi model kuih dan ais krim pulak.

“Terima kasih warganet kerana menghiburkan bukan sahaja saya tapi seluruh rakyat Malaysia. Selamat berbuka puasa dengan kueh mueh baju saya ya,” seloroh Ismail Sabri.

Ismail Sabri sebelum ini sempat mengenakan enam corak ketika mengadakan sidang akhar harian mengenai keselamatan berkaitan Covid-19.

Dalam laman sosial Instagramnya rata-rata memuji penampilan Ismail Sabri yang tampak segak dan kasual menyarungkan kemeja corak moden kontemporari ketika mengadakan sidang media harian.

Difahamkan kemeja yang dipakai merupakan koleksi menantu Ismail Sabri sendiri iaitu Jovian Mandagie. Beliau merupakan pereka fesyen terkenal dan suami, kepada anak sulung Ismail Sabri iaitu Nina Sabrina.

Rata-rata netizen meninggalkan komen yang ceria dan boleh dianggap kelakar apabila menyamakan setiap rekaan kemeja itu dengan beberapa makanan tempatan.

Antaranya kek lapis, apam polka dot, air batu campur (ABC), jus avokado, aiskrim Oreo, jus strawberi, sagu gula melaka, lengkong dan sebagainya lagi.

Malah ada yang mengusik, corak pada baju Ismail Sabri boleh membatalkan puasa kerana terbayang makanan yang seakan sama dengan warna pada baju itu.

Sebelum ini Ismail Sabri membangkitkan apa salahnya beliau mempromosikan batik Malaysia.

Ini disebabkan corak yang cantik dan berseni serta warna yang menyerlah, baju batik yang dipakai oleh Menteri Pertahanan itu mendapat perhatian ramai. Ada yang memuji namun ada pula yang berkata tidak sesuai.

“Ramai komen tentang baju saya sejak semalam. Sebenarnya semalam dan hari ni hujung minggu. Jadi saya pakai baju batik. Apa salahnya saya mempromosikan batik Malaysia kan?” kata Ismail Sabri ringkas. -SM

(Visited 1,207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button