NasionalNegeri

Peguam syarie perlu kuasai undang-undang sivil – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya peguam syarie turut menguasai undang-undang sivil dan tidak terhad kepada undang-undang syariah sahaja.

Baginda bertitah, ia penting kerana ada kalanya isu-isu yang diputuskan di mahkamah syariah juga mempunyai kaitan dengan undang-undang sivil.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah sempena Majlis Pertauliahan Peguam Syarie Negeri Perlis Tahun 2023 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia, Kangar.

“Contohnya jika ia melibatkan undang-undang Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991, Akta Pencen 1980 dan lain-lain,” titah Baginda pada Majlis Pertauliahan Peguam Syarie Negeri Perlis Tahun 2023 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia, Kangar.

Sebanyak 30 peguam syarie menerima tauliah untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, peguam syarie juga perlu bersifat amanah, jujur dan berniat baik untuk menegakkan keadilan dalam melaksanakan tugas dan peranan sebagaimana yang dituntut oleh agama dan hendaklah mematuhi Etika Peguam Syarie di bawah Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 4 Tahun 2002.

“Juga perlu memberikan fokus penyelesaian sesuatu kes dalam tempoh masa yang singkat tanpa meminggirkan prinsip keadilan,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan sijil petauliahan kepada salah seorang penerima sempena Majlis Pertauliahan Peguam Syarie Negeri Perlis Tahun 2023 anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis di Hotel Seri Malaysia, Kangar.

Titah Baginda, pastikan juga merahsialan kes anak guam supaya tidak terdedah kepada umum dan pihak media yang boleh membawa kepada fitnah.

Baginda bertitah, ini selaras dengan penguatkuasaan Arahan Ketua Hakim
Syarie Bilangan 1 Tahun 2023 berkenaan Pendengaran Kes Perceraian Secara Tertutup di Mahkamah Syariah Negeri Perlis mulai 1 Julai 2023.

“Beta berharap kepada semua peguam syarie agar mengutamakan kepentingan keadilan dan junjunglah prinsip integriti dalam menjalankan tugas supaya imej agama Islam dan kehormatan profesion ini kekal terpelihara,” akhiri titah Baginda. – SM

(Visited 68 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button