Negeri

Masyarakat Tiong Hua teruja disantuni Raja Muda Perlis

Pasangan suami isteri Raymond Lim Choon Guan dan Teou Siew Yan beserta anak-anak mereka teruja disantuni Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena sambutan Tahun Baru Cina pada petang semalam.

Usahawan kedai bunga ‘Ingrace Floral and Events’ tersebut melewatkan pergerakan balik mereka untuk ‘Reunion Dinner Tahunan’ ke kampung asal keluarga Raymond di Tanjung Bungah Pulau Pinang bersama-sama ibu tersayang apabila dimaklumkan bahawa tetamu diraja pewaris takhta Jamalullail berkenaan telah berkenan untuk singgah di kedai beliau di Jalan Jublee Perak, Pusat Bandar Kangar.

Kunjungan tersebut diaturkan oleh NGO One Centre Malaysia (OCM) Perlis yang disekalikan dengan program ‘Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke 9 bagi tahun 2022’. Turut menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif OCM Perlis, Muhammad Zamri Vinod Kalimuthu.

Di lokasi yang sama turut diadakan ialah penyerahan sumbangan daripada Sri Ananda Bahwan Group of Companies kepada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hj Mohd Nazim Mohd Noor untuk disalurkan kepada tabung ‘Projek DiRaja Kg Warna-Warni Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis’ hasil kerjasama MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Sempena program tersebut, Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs di rumah asnaf Idrus Noor 71 tahun seorang bekas tentera yang menjaga isteri mendapat rawatan dialisis, Asri Alwi juga 71 yang lumpuh dan Darus Mat Arshad 75 tahun yang mengalami masalah kesihatan.

Titah harapan Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas program tersebut ‘Semoga Allah swt kurniakan kepada kita semua di negeri Perlis dan negara Malaysia keamanan dan keselamatan serta rakyat yang sihat, rajin, berdisplin, hidup bersih, sentiasa cekal berusaha dan bersatu padu’.

GALERI FOTO

(Visited 564 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button