NasionalRencah Hidup

Peniaga nasi lemak viral Eye On lega dapat lesen berniaga sementara

Peniaga nasi lemak viral di Pantai Eye On Kota Laksamana melahirkan rasa lega penantian untuk mendapatkan lesen berniaga sementara daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjadi kenyataan malam Sabtu lalu.

Pengusahanya, Ramlan Abdul Rahman, 54, yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) melahirkan rasa lega apabila menerima kejutan kunjungan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin bersama Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman datang ke gerainya menyerahkan lesen sementara itu.

“Saya merasa sangat bersyukur akhirnya hasrat untuk memiliki lesen berniaga walaupun sementara sudah menjadi kenyataan.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Datuk Bandar MBMB yang menunaikan janji memberi lesen berniaga sementara kepada saya.

“Alhamdulillah kali ini saya berniaga tanpa rasa takut kerana sebelum ini setiap kali penguatkuasa MBMB lalu di Eye On, saya risau akan dikenakan tindakan atau barang disita.

“Kadang-kadang lori selenggara milik MBMB lalu pun saya dah mula rasa takut tetapi sekarang tidak lagi,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia malam tadi.

Ramlan yang mengusahakan jualan nasi lemak viral bersama isterinya, Rosyati Saleh, 48, berkata, dia pernah memohon lesen tetapi ditolak kerana kaedah berniaga membuka meja tidak dibenarkan.

Menurutnya, pihak MBMB memintanya untuk berniaga menggunakan food truck barulah lesen berniaga diberikan.

“Ketika itu saya berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan mana ada wang nak beli trak untuk dijadikan berniaga. Saya hanya tawakal berniaga di situ kalau kena saman saya reda,” ujarnya yang satu-satunya berniaga di kawasan itu.

Katanya, sejak pantai Eye On ditambak kawasan itu tidak lagi menjadi tumpuan orang berniaga namun dia dan isterinya tetap gigih berniaga sehingga nasi lemak yang dijualnya diviralkan tular di media sosial baru-baru ini.

Suara Merdeka sebelum ini melaporkan keenakan sambal tumis dan harga yang murah nasi lemak yang dijual pasangan suami isteri itu mencuri tumpuan pelanggan apabila orang ramai sanggup beratur hampir sejam untuk membelinya.

Hampir setiap malam, antara 100 hingga 150 pelanggan sanggup beratur panjang bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi, semata-mata ingin menikmati hidangan nasi lemak viral itu. – SM

BACA Nasi lemak pantai Eye On jadi tarikan

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button